Saturday, 28 March 2015

Coretan Travelog Umrah 4: Angin Makkah Yang Diimpi

Setelah 4 hari berada di Madinah, tiba masanya untuk bergerak ke Mekah bagi mengerjakan umrah. Perasaan ketika ini bercampur baur, sedih, gembira, berdebar-debar untuk meninggalkan kota Madinah menuju ke tanah suci Mekah. Perjalanan ini akan mengambil masa selama hampir 8 jam dan akan berhenti sebentar di Bir Ali untuk memakai dan berniat ihram. Hampir jam 3.00 petang, kesemua peserta jemaah bergerak menaiki bas meninggalkan Madinah. Cuaca diluar sememangnya amat panas memandangkan Arab Saudi sedang berada dalam musim panas. 5 orang peserta brothers berada ditempat duduk hadapan bas, manakala baki 20 peserta sisters berada ditempat duduk belakang bas. Hati kembali ditaut rasa pilu meninggalkan kota Madinah saat melalui kawasan tepi Perkuburan Baqi’, dari jauh kelihatan kubah hijau Masjid Nabawi, yang semakin lama semakin hilang dari pandangan.

Saat berada didalam bas, ‘air-cond’ yang dipasang terasa kurang sejuk, tetapi memandangkan peserta jemaah lain hanya mendiamkan diri, saya turut membisu. Dalam perjalanan, ada sebahagian daripada kami yang menyambung bacaan Al-Quran, ada yang lelap merehatkan diri, ada yang bersembang merapatkan ukhuwah, dan ada juga yang menikmati pemandangan pinggir kota Madinah dari tingkap bas. 

Sesungguhnya, Allah tidak akan membiarkan hambanya melalui hidup ini tanpa ujian, kerana ujian itu akan mendekatkan hamba padaNya. Ujian daripadaNya tiba lagi. Kali ini benar-benar menduga iman yang senipis kulit bawang ini. Baru sahaja bas bergerak dalam 10 minit, tiba-tiba enjin bas mati ditengah-tengah jalan raya. Pendingin udara bas terus terpadam. Dengan bas yang masih bergerak perlahan walaupun enjin sudah mati, pemandu membawa bas tersebut ketepi jalan. Dicuba berkali-kali untuk menghidupkan enjin bas, malangnya, masih gagal. Didalam bas yang berada di tepi jalan pinggir Madinah, bersama panas terik matahari, peluh semakin deras mengalir. Perasaan ketika itu hanya Allah yang tahu. 

Kesemua peserta jemaah senyap membisu, beristighfar. Perasaan sebak memikirkan dosa-dosa yang mungkin menjadi asbab kepada ujian yang sungguh mencabar ini. Lantas dipohon, “Jika ujian ini disebabkan oleh dosa-dosa diri yang menggunung tinggi , ampunkan aku ya Allah, berilah peluang kepada hamba-hamba ini untuk datang menemuimu, bersujud menghadapmu dihadapan Kaabah”. Kedengaran seorang sister dari belakang bas menyahut: “Perbetulkan niat kita…”. Lantas terfikir, apakah niatku menuju ke Mekah? Adakah semata-mata kerana Dia? Disebabkan bas yang masih tidak hidup walaupun dicuba beberapa kali, lantas, ketua rombongan, akhi Mus’ab menyuruh semua peserta jemaah keluar daripada bas dan mencari tempat berteduh, walaupun diluar juga tetap panas, tetapi kurang berbanding terus berada didalam bas.

Sedang pemandu bas sedang berusaha membaiki kerosakan, peserta brothers duduk berteduh ditepi jalan, melayan perasaan masing-masing. Manakala sisters pula duduk berkumpul, mungkin membuat muhasabah secara berjemaah. Tidak sampai 10 minit, berita gembira datang apabila bas berjaya dihidupkan kembali. Lalu, perjalanan diteruskan sehinggalah sampai ke Bir Ali. Di Bir Ali, kami menyempurnakan salah satu rukun umrah, iaitu berihram dan berniat ihram. Memandangkan perjalanan ke Mekah masih berbaki lebih 7 jam,  bas ditukar dengan bas yang lebih baik sebelum kami bergerak meninggalkan Bir Ali. Dengan berpakaian ihram, beg-beg dipunggah kedalam bas yang baru. Saat berada didalam bas, terasa kebesaran Allah, ujian yang diberikan sebentar tadi menyebabkan kami mendapat bas yang lebih baik untuk meneruskan perjalanan menuju Mekah, yang mana pendingin udara bas tersebut lebih nyaman. Keika perjalanan, akibat strategi yang salah, saya langsung tidak dapat tidur sepanjang 8 jam lebih perjalanan kerana telah meminum setin energy drink, Bison yang dibeli dalam perjalanan. 

Pilu saat menatap Kaabah.

Hampir pukul 12 tengah malam, kami memasuki kota Mekah, dari kejauhan dapat dilihat Masjidil Haram yang terang benderang. Semakin menghampiri MasjidilHaram, semakin kelihatan kren-kren pembinaan yang tinggi mengelilingi masjid, kerana projek pembesaran sedang giat dilaksanakan. Runtuhan-runtuhan bangunan dikiri kanan jalan berdekatan Masjidil Haram turut menyambut ketibaan kami disamping debu yang meliputi Mekah, hasil projek runtuhan-runtuhan tersebut. Kelihatan juga papan tanda model hotel-hotel mewah yang akan dibangunkan dikawasan runtuhan bangunan tersebut. Hanya keluhan mampu dilepaskan. Kesesakan jalan raya di Mekah berdekatan Masjidil Haram yang amat berbeza berbanding Madinah turut mengalu-alukan kehadiran kami. Sebelum terus mengerjakan umrah, kami menuju ke hotel penginapan terlebih dahulu untuk meletakkan barang-barang dan menyegarkan tubuh badan yang sudah keletihan selepas 8 jam lebih perjalanan.

Untuk umrah kali pertama ini, kesemua peserta melaksanakannya secara bersama-sama. Keluar dari hotel penginapan menuju ke Masjidil Haram, kalimat ‘Labbaikallahumma labbaik, Laibbaikala syarikala kalabbaik,..’ tidak putus-putus dilaungkan.  Hotel kami menginap agak jauh dari Masjidil Haram, hampir 20minit berjalan kaki, ditambah kesesakan manusia bercampur kenderaan bersimpang siur. Perasaan ketika itu bercampur baur, teruja melihat manusia yang sungguh ramai walaupun jam sudah menunjukkan 12 lebih, berdebar-debar untuk menatap Kaabah buat pertama kali, dicampur badan yang sudahpun keletihan menempuh perjalanan yang amat panjang tanpa tidur dan rehat. 

Alhamdulillah, lebih kurang pukul 3 pagi, kami semua dapat menyempurnakan kesemua rukun umrah yang diakhiri dengan tahallul. Pertama kali didalam hidup setelah 21 tahun, kepala ini dicukur habis sehingga licin. Selepas Subuh, kesemua peserta jemaah terus melelapkan mata dibilik hotel, mengumpul kembali tenaga yang hilang.


No comments:

Post a Comment