Sunday, 28 July 2013

Coretan Travelog Umrah 3: Haruman Madinah Yang Dirindui.

Kesempatan berada di Madinah cuba untuk digunakan sebaiknya. Terbayang bagaimana saat Rasulullah bersama kaum Muhajirin sampai di kota ini dan disambut dengan meriah oleh kaum Ansar lebih 1400 tahun yang lalu.

Pemandangan Baqi' dari luar, kelihatan dari jauh pagar yang mengelilingi perkuburan Baqi'


Salah satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan ialah pengalaman menyempurnakan jenazah di perkuburan Baqi’. Bermula dengan solat jenazah yang dilaksanakan setiap kali tamat solat fardhu, yang mana hanya terdapat 2 masjid didunia ini solat jenazah dilaksanakan setiap kali selepas solat fardhu setiap hari  iaitu Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Kemudian bersama-sama jemaah-jemaah yang lain mengusung jenazah sehingga ke perkuburan Baqi’. Suasana pengurusan jenazah disini sememangnya amat berbeza berbanding di Malaysia. Disini, para jemaah berpusu-pusu membantu untuk mengusung jenazah dan membawanya ke perkuburan. Bagi yang bertubuh kecil, terpaksa berlari-lari anak jika tidak mahu tertinggal ketika membantu mengusung jenazah. Kadang kala selipar hampir putus akibat dipijak oleh jemaah-jemaah yang berebut mengusung jenazah. Masing-masing berusaha untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah seperti yang telah dijanjikan Rasulullah didalam satu hadis yang berbunyi:

Hadis Thauban r.a, bekas hamba Rasulullah s.a.w: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud. (Hadis 1575, Sahih Muslim)

Saat ini, terfikir bagaimana agaknya kematian menjemput diri ini nanti, adakah kematian itu nanti dalam redha Allah atau dalam kemurkaan Allah. Terbayang pula bagaimana agaknya solat jenazah untu diri ini nanti, adakah disolatkan dengan sempurna oleh ramai jemaah seperti di Masjid Nabawi ini? Peringatan kepada diri ini dan juga sahabat-sahabat yang lain agar sentiasa berdoa kematian kita dalam keadaan husnul khatimah.

Raudhah, sentiasa sesak dan penuh.

Raudhah yang terletak didalam Masjid Nabawi merupakan salah satu tempat mustajab untuk berdoa. Sudah tentu tempat ini sentiasa penuh dan menjadi tumpuan ramai jemaah. Suasana jemaah yang berebut2 untuk masuk ke kawasan Raudhah sememangnya mencabar kesabaran kita. Disaat inilah kita yang berada dalam situasi ini dapat mengasuh kesabaran diri dan meleturkan sifat-sifat mazmumah kita. Memandangkan kawasan Raudhah sentiasa penuh dan sesak, saya dan sahabat merancang untuk datang ke Masjid Nabawi dan masuk ke Raudhah pada pukul 1.30 pagi. Disangkakan jemaah akan kurang pada waktu itu, rupanya sangkaan kami amat meleset. Saat tiba berdekatan Raudhah lebih kurang jam 1.30 pagi, jemaah sudah berpusu-pusu menunggu di tepi pagar sementara yang diletakkan ketika para pekerja sedang membersihkan kawasan Raudhah tersebut. Apabila pagar tersebut dibuka sahaja, berkejaranlah para jemaah berebut untuk masuk ke kawasan Raudhah sehingga melanggar jemaah-jemaah lain yang sedang duduk beribadat, bahkan ada jemaah yang sedang duduk tercabut serban yang dipakai olehnya akibat dilanggar oleh jemaah yang berkejaran masuk kedalam Raudhah. Mujurlah pesanan ustaz sentiasa kami ingat agar tidak mencipta dosa dalam usaha untuk membuat ibadat, kerana perjalanan umrah ini melibatkan hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia. Kami hanya mampu tercengang dan menggeleng kepala melihat situasi yang berlaku didepan mata itu.
Menghadap Bukit Uhud dan medan pertempuran yang amat bersejarah.

Keberadaan di Madinah juga dipenuhkan dengan menziarahi tempat-tempat bersejarah dalam Islam. Bukit Uhud antara tempat bersejarah yang dituju dan dilawati. Sememangnya, perasaan sebak akan menerpa saat tiba di tanah yang menyaksikan sejarah dimana pasukan tentera Islam menentang kaum musyrikin Mekah didalam Perang Uhud. Saat berdiri dikawasan medan pertempuran perang Uhud, sirah Rasulullah menerpa di minda dimana baginda tercedera didalam perang ini manakala ramai sahabat termasuk Saidina Hamzah menemui syahid dalam mempertahankan Islam. Kesempatan berada disana digunakan untuk memanjat dan berada diatas bukit pemanah ketika berlakunya perang Uhud tersebut. Panas terik yang dipancarkan matahari di Madinah tidak melunturkan semangat untuk merasa sendiri pengalaman berada diatas bukit pemanah tersebut. Disinilah kita dapat bermuhasabah dengan lebih mendalam bagaimana Rasulullah memperjuangkan agama yang suci ini sehingga berdarah tercedera manakala para sahabat pula menemui syahid, sedangkan kita masih mampu bersenang lenang dengan segala kesenangan dan mudah mengeluh dengan ujian kecil yang menimpa. Keberadaan di medan ghazwah Uhud ini mengingatkan kepada kalamullah ayat 154 surah Al-Baqarah:

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyadarinya.

Bukit Pemanah yang menjadi saksi sejarah Ghazwah Uhud.

Beberapa tempat bersejarah turut dikunjungi seperti Masjid Quba’ dan kami juga melalui tempat berlakunya Ghazwah Khandak.


Menziarahi maqam Rasulullah yang terletak didalam Masjid Nabawi juga merupakan salah satu nikmat ketika berada di Madinah. Setiap hari melalui depan maqam Rasulullah membuatkan kita merasa seperti dekat dengan baginda. Tetapi, cepat-cepat perasaan tersebut cuba di’neutral’kan dengan mengatakan kepada diri: “Kita akan betul-betul dekat dengan Rasulullah jika kita sentiasa mengamalkan sunnah dan suruhan baginda, bukannya sentiasa berada dekat dengan maqam baginda tanpa berbuat apa-apa”.  Dan semestinya, sunnah baginda yang terbesar ialah berdakwah menyebarkan agama Islam yang benar. Pada hari terakhir di Madinah, perasaan sebak menusuk-nusuk dada, alangkah beratnya rasa untuk meninggal Madinah yang penuh barakah. 


Maqam Rasulullah (hujung kiri) yang sentiasa dipenuhi jemaah.
Perasaan hiba dan sedih yang memuncak dirasai saat mahu meninggalkan Masjid Rasulullah. Saat melepasi maqam Rasulullah buat kali terakhir sebelum berangkat ke Mekah, perasaan hiba tidak dapat dibendung lagi, sama seperti jemaah-jemaah lain yang berada disekeliling, doa dipanjatkan agar dapat bertemu baginda di kampung halaman syurga kelak. Terasa amat berat hati untuk meninggalkan Masjid Nabawi, yang bermaksud meninggalkan maqam Rasulullah. Bagaimanapun, cepat-cepat istighfar diucapkan agar niat tidak terpesong, kerana tempat yang dituju selepas ini merupakan Masjidil Haram yang terletaknya Baitullah al-Haram, yang mana cinta dan kasih kepada Allah perlu berada lebih tinggi diatas cinta dan kasih kepada Rasulullah. 

Kepulangan ke bilik hotel sebelum berangkat ke Mekah dihiasi alunan lagu Law Kana Bainana, yang sudah semestinya menambahkan lagi perasaan sebak. Sekali lagi dibisikkan kedalam hati, “Jika benar cintakan Rasulullah, laksanakan sunnah baginda, penuhi suruhan baginda, ikut jejak langkah baginda, itu Rasulullah lebih cintai daripada sekadar melayan perasaan hiba dan sebak sebegini”. 



No comments:

Post a Comment