Tiada penyimpan mohor besar raja-raja yang
membuat pengumuman mulanya berpuasa disini. Malam pertama Ramadhan, manusia
penuh sesak di Masjidil Haram dan di Mekah amnya. Tarawikh pertama di Masjidil
Haram ditunggu-tunggu.
![]() |
Malam pertama Ramadhan di Masjidil Haram. |
Menakjubkan! Sungguh, pengalaman bertarawikh di Masjidil
Haram benar-benar menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan. 20 rakaat
tanpa henti, dengan hanya rehat sebentar setelah 10 rakaat yang pertama,
bersama ribuan manusia. Letih, namun kepuasan yang tidak terhingga. Ramadhan
yang penuh barakah dan dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda semakin
merancakkan aktiviti ibadat para jemaah disini. Umrah yang dilaksanakan ketika
Ramadhan dijanjikan pahala yang sama seperti pahala haji. Lantas para peserta
jemaah menggunakan peluang yang ada untuk meraih ganjaran yang ditawarkan oleh
Allah ini.
Berbagai strategi dirancang untuk melaksanakan
umrah ketika bulan puasa ini, memandangkan cuaca panas terik perlu dihadapi.
Ada daripada peserta yang keluar ke Miqat (di Tan’im) pada pukul 1.30 pagi,
untuk mengelakkan kesesakan orang ramai, kemudian terus melaksanakan
rukun-rukun umrah yang lain sehingga tiba waktu Subuh. Kelebihannya, boleh
membasahi tekak dengan air zam-zam jika terasa haus ketika melaksanakan umrah
tersebut. Tetapi, waktu tidur waktu malam pula terpaksa dikorbankan. Manakala,
sebahagian lagi peserta jemaah menggunakan strategi melaksanakan umrah selepas
waktu Subuh, tidur malam yang mencukupi diperoleh, dan bertenaga melaksanakan
umrah, tetapi, tidak berpeluang menghilangkan dahaga jika keletihan. Berbagai
ragam, semata-mata demi memperoleh redhaNya.
Detik berbuka ditunggu penuh sabar di dalam
Masjidil Haram. Meriah. Sebahagian besar jemaah memenuhi masa dengan bertadarus
Al-Quran, sebahagian lagi melelapkan mata mengumpul tenaga untuk bertarawikh
pada malamnya, ada juga yang duduk memerhati gelagat para jemaah lain.
Menghampiri waktu berbuka, lapik makan dihampar di setiap saf solat, beberapa
anak muda yang berumur dalam lingkungan belasan tahun mengedarkan bungkusan
kurma kepada para jemaah. Selepas seorang datang memberi bungkusan kurma,
datang pula seorang yang lain bersama bungkusan yang baru. Akhirnya, tiga
bungkusan kurma diterima dengan setiap bungkusan terdapat dalam 5-6 biji kurma.
Air zam-zam diisi didalam botol sebagai persediaan menghilangkan dahaga.
Kemudian, datang pula remaja yang lain sambil membawa air teh dan kopi arab
untuk diedarkan kepada para jemaah.
Azan berkumandang, tamar ditelan satu
persatu, hampir 8-9 biji kurma dihabiskan setiap kali berbuka, satu pencapaian
tertinggi, kerana kebiasaannya, hanya 2 biji kurma dihabiskan ketika berbuka.
Tetapi, oleh kerana tiada makanan berat disediakan, hanya tamar yang ada untuk
mengalas perut. Disebabkan hotel penginapan jauh daripada masjid, niat ingin
pulang bagi menikmati makanan lain selepas Maghrib dilupakan. Usai tamat
Tarawikh, barulah perut diisi dengan makanan yang berat.
4 hari Ramadhan di Mekah dinikmati dengan
sepenuhnya. 13 Julai 2013, hari kepulangan ke Malaysia. Perasaan bercampur
baur, sedih untuk meninggalkan kota suci Mekah dan tidak sabar untuk berjumpa
menatap ahli keluarga di tanah air yang sudah hampir setahun tidak bersua.
Kerinduan kepada tanah haram dilepaskan saat tawaf Wida’ dilaksanakan. Azam dipadu untuk menjejakkan kaki lagi ke
tanah yang penuh barakah ini.
No comments:
Post a Comment