Saturday 28 March 2015

Coretan Travelog Umrah 6: Bumi Tarbiyah, Pengubat Jiwa Yang Lelah.

Ziarah pada hari ke-3 tersebut diteruskan lagi dengan melalui Muzdalifah dan Mina. Ketika itu, kawasan tersebut kosong tiada penghuni, yang kelihatan hanyalah khemah-khemah putih yang mungkin bilangannya mencapai ratusan atau ribuan. Masing-masing menanti kehadiran jemaah haji yang akan berkunjung tiba beberapa bulan sahaja lagi.

Kemudian, kami berkunjung ke Ja’ranah iaitu salah satu tempat Miqat. Kami merancang untuk melakukan umrah untuk kali kedua pada hari ini. Di Ja’ranah, kami mengambil kesempatan untuk membersihkan diri, berihram dan berniat ihram. Masjid Ja’ranah dipenuhi dengan jemaah daripada Indonesia dan juga Malaysia yang ingin mengerjakan umrah.  Dalam perjalanan pulang ke hotel, azam disemat didalam diri untuk melakukan umrah kali ini lebih baik daripada umrah pertama yang dilakukan ketika pertama kali menjejakkan kaki di tanah suci Mekah. 


Laluan untuk berSa'i.


Dengan keadaan diri kali ini yang lebih bertenaga dan bersedia mental dan fizikal berbanding umrah pertama yang dilaksanakan ketika badan lemah keletihan. Ditambah pula umrah kali ini saya dapat melakukannya berseorangan tanpa perlu mengikut atau menunggu sesiapa,  doa dipanjatkan agar umrah kali ini mendatangkan perasaan yang lebih khusyuk dan  dapat disempurnakan dengan lebih baik. Kami tiba di hotel dalam pukul 10.30 pagi, saya merancang untuk melaksanakan umrah selepas Asar selepas memikirkan cuaca yang amat panas jika dilaksanakan selepas Zohor manakala orang ramai akan lebih sesak diwaktu malam. Ibadat Umrah merupakan ibadat yang melibatkan fizikal, jadi, perancangan yang rapi perlu dibuat agar kita tidak tersilap langkah sehingga memberi kesan buruk kepada tubuh badan, yang mana akan merugikan diri kita sendiri apabila ibadat seterusnya tidak dapat dilaksanakan.

Alhamdulillah, umrah yang dilaksanakan dalam keadaan yang lebih bersedia dan bertenaga akan mendatangkan keasyikan yang amat mendalam. Saat tawaf mengelilingi kaabah, terasa betapa hina dan kerdilnya diri ini, mengharapkan keampunan dan pertolongan daripada Allah dibawah panas terik mentari. Amat kagum melihat pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang turut bersungguh-sungguh melaksanakan tawaf di bawah kepanasan mentari yang memerah keringat. Semakin teruja apabila melihat pakcik yang bertongkat tetap terus melangkah tapak demi tapak menyelesaikan rukun umrah ini. Kesilauan sinaran mentari musim panas yang dipantulkan lantai marmar memeningkan kepala kerana keadaan diri ini yang sememangnya tidak tahan silau. Walaubagaimanapun, klip kaca mata hitam yang dibawa membantu mengurangkan ketidakselesaan. 

Dari kejauhan,orang ramai kelihatan berpusu-pusu saling tolak-menolak untuk mengucup Hajarul Aswad, bahkan ada beberapa wanita turut cuba beradu tenaga mengejar sunnah nabi tersebut. Kadang kala, saya didatangi oleh pemuda-pemuda yang bercakap didalam bahasa Indonesia, menawarkan untuk membawa saya mengucup Hajarul Aswad. Tetapi saya menolaknya apabila  mengingatkan pesanan sahabat yang bercerita mengenai ‘servis’ ini yang diakhirnya, akan mengeringkan wang kita, bahkan bayaran yang dikenakan nanti boleh mencecah sehingga 500 Riyal. Langkahan diatas lantai marmar semasa melakukan tawaf di’hibur’kan dengan bunyi mesin gerudi, ketukan-ketukan besi pekerja-pekerja pembinaan yang sedang giat melakukan pembesaran Masjidil Haram. 

Di dataran tawaf yang memutih ini, pelbagai gelagat manusia dapat disaksikan. ‘Tok Sheikh’ Arab yang menjaga Maqam Ibrahim memarahi jemaah-jemaah yang mengganggu kelancaran pergerakan tawaf apabila berhenti di maqam tersebut, bahkan ada yang mengucup-ngucup cermin yang menutupi kesan tapak kaki Nabi iBrahim tersebut, lalu kedengaranlah suara ‘Tok Sheikh’ tersebut menjerit; “Syirik!!Harromm!!”. Di sekeliling Kaabah pula, ada sebahagian jemaah melekapkan muka ke dinding Kaabah, dan ada pula yang mengusap-usap Kaabah menggunakan tangan. Didalam kesesakan manusia yang sedang memperhambakan diri kepada Tuhannya, kadang kala dilanggar oleh jemaah lain yang mengejar kumpulannya dihadapan. Kesabaran benar-benar teruji sepanjang berada di tanah suci ini. Ego perlu dibuang jauh-jauh. 

Selesai melaksanakan tawaf dan solat sunat tawaf, lantas tong air zam-zam dicari untuk melepaskan tekak yang kekeringan dahaga. Setelah puas menikmati air zam-zam dan melepaskan lelah, disambung ibadat umrah dengan bersa’i pula. Laluan sa’i di tingkat 2 dituju memandangkan laluan di tingkat 1 sentiasa sesak dengan jemaah-jemaah lain. Tempat sa’i yang berhawa dingin mengurangkan keletihan. Tetapi kaki pula yang kesejukan menapak diatas lantai marmar. Ah!manusia memang tidak pernah bersyukur dan puas. Dari Safa menuju ke Marwah, kemudian berpatah balik ke Safa, sehinggalah selesai 7 pusingan. Alhamdulillah, berasa lebih berpuas hati dengan umrah kedua yang dilakukan ini. Setelah selesai umrah, doa pula dipanjatkan semoga semua ibadat yang dilakukan diterima olehNya.


No comments:

Post a Comment