Tuesday 28 February 2017

Celaka

Adakah aku terlalu celaka?
Diri yang sudah rosak hancur hina.
Ingin rosakkan jiwa yang masih suci.

Celaka. Manusia celaka.
Bingungnya aku.
Bagaimana mahu menarik semula sauh yang sudah dilabuh kuat

Apa harus aku buat?
Ingin diterus akan merosakkan
Ingin menarik diri, juga akan merosakkan

Hina celaka sungguh diri ini
Apa lah malang nasib

Monday 16 January 2017

Pria Hina & Si Bunga Syurga

Kadang aku terpana,
Bingung menatap wajah diri nan sepi,
Hina,

Terpana itu,
Terpana syahdu,
Syahdu luka yang mangkir noktahnya,
Buntu,

Bingung itu,
Bingung akal memikirkan layakku,
Siapakah aku,
Lagak sang pengemis hamis,

Aku lelaki yang jua punya tangis,
Tangisku kadang di pundak akalku tiada nilai,
Sadis,

Sedasawarsa kurang delapan ini,
Hadir wanita suci yang bikinku terpana,
mendamparkan aku bingung,
melemaskan aku tangis,


Segalanya kerana aksara suci itu,
C.I.N.T.A

Terpana,
Bingung dan tangis kerana aksara itu,
Aksara 5 yang aku impi tapakku ke syurga

Aku kini, lelaki yang lebih memahami aksara suci itu,
Aksara suci yang perlu dipaut,
Dijunjung pada Yang Satu,

Aksara suci yang kau pamir itu harum,
Seharum namamu bak bunga syurga meranum,

Aksara suci yang kau beriku rasa,
Walau sedikit cuma itu,
Membuat aku celik,
Celik makna hidup,

Aksara suci yang kau siram
Walau setitik cuma,
Buatku tersentak,
Tersentak akan makna hamba hina pada Yang Esa,

Walau aku masih terpana,
Terus bingung dan terkadang tangis membalut,
Aku tegap yakin "bunga syurga" itu bukan kebetulan kosong tak bermaksud,

'Bunga syurga' yang Tuhan hadirkan ini,
Penyuluh jiwa yang bungkam,
Supaya aku tiada samar meraba syurga yang terang,

Bunga syurga yang tuhan semai ini,
Bikin aku bingkas menerpa,
Dari sekilas alpa,
Alpa yang asyik merenjut jiwa fana',

Bunga syurga yang tuhan izinku hidu harumnya,
Menyentakku dari lena sang manusia,
Lena yang memamah tubuh tinggal tiada,

Aku disini terus bingung terpana,
Sang wanita menyerbak harum ini jiwanya disepuh apa?
Ampuh utuh walau disepa ujian edan menggila,

Ku tiada ragu harummu itu syurga berbunga layak asalnya,
Bisaku ingati, aku bukan pemuja wanita,
Cumaku kagum maha hebatnya Tuhan yang mencipta,

Duhai bunga syurga yang bisa menyegar jiwa lara,
Izinku terus menyentuh debungamu,
Walau izinmu sedetik cuma,

Duhai bunga asalnya syurga,
Izinku terus menghirup wangianmu walau secangkir cuma,

Impiku tunggal tiada mendua,
Walau pana, bingung, tangis terus menyerbu luluh jiwa,
Walau jua aksara suci membibir, harum semerbak tiada terhingga,
Aku impi hanya kita bersatu berlembahyung rahmat Yang Maha Kaya,

Terima kasih atas aksara suci mulusmu itu
Duhai 'Bunga Syurga'.

MSI,
Kuala Lumpur, 15/12/2016

Wednesday 29 April 2015

Jatuh

Saat kau tersembam tersungkur dahulu, kau punya Tuhan untuk kau hulurkan tangan.
Kuat.
Kini kau tersungkur mencium tanah kembali, kau sudah 'tiada' Tuhan.
Celakanya badan.
Bukan kerana Tuhan yang tidak ada, 
Tapi kerana tangan kau yang sudah membusuk hina,
Malu ingin dihulur kembali tangan yang pernah disambutNya dulu,
Lantas kau layu, layu menanah dalam kelemasan. 


Saturday 28 March 2015

Coretan Travelog Umrah 8: Akan ku Jejak Lagi Bumi Barakah Ini.

Tiada penyimpan mohor besar raja-raja yang membuat pengumuman mulanya berpuasa disini. Malam pertama Ramadhan, manusia penuh sesak di Masjidil Haram dan di Mekah amnya. Tarawikh pertama di Masjidil Haram ditunggu-tunggu. 

Malam pertama Ramadhan di Masjidil Haram.

Menakjubkan! Sungguh, pengalaman bertarawikh di Masjidil Haram benar-benar menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan. 20 rakaat tanpa henti, dengan hanya rehat sebentar setelah 10 rakaat yang pertama, bersama ribuan manusia. Letih, namun kepuasan yang tidak terhingga. Ramadhan yang penuh barakah dan dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda semakin merancakkan aktiviti ibadat para jemaah disini. Umrah yang dilaksanakan ketika Ramadhan dijanjikan pahala yang sama seperti pahala haji. Lantas para peserta jemaah menggunakan peluang yang ada untuk meraih ganjaran yang ditawarkan oleh Allah ini.

Berbagai strategi dirancang untuk melaksanakan umrah ketika bulan puasa ini, memandangkan cuaca panas terik perlu dihadapi. Ada daripada peserta yang keluar ke Miqat (di Tan’im) pada pukul 1.30 pagi, untuk mengelakkan kesesakan orang ramai, kemudian terus melaksanakan rukun-rukun umrah yang lain sehingga tiba waktu Subuh. Kelebihannya, boleh membasahi tekak dengan air zam-zam jika terasa haus ketika melaksanakan umrah tersebut. Tetapi, waktu tidur waktu malam pula terpaksa dikorbankan. Manakala, sebahagian lagi peserta jemaah menggunakan strategi melaksanakan umrah selepas waktu Subuh, tidur malam yang mencukupi diperoleh, dan bertenaga melaksanakan umrah, tetapi, tidak berpeluang menghilangkan dahaga jika keletihan. Berbagai ragam, semata-mata demi memperoleh redhaNya.

Detik berbuka ditunggu penuh sabar di dalam Masjidil Haram. Meriah. Sebahagian besar jemaah memenuhi masa dengan bertadarus Al-Quran, sebahagian lagi melelapkan mata mengumpul tenaga untuk bertarawikh pada malamnya, ada juga yang duduk memerhati gelagat para jemaah lain. Menghampiri waktu berbuka, lapik makan dihampar di setiap saf solat, beberapa anak muda yang berumur dalam lingkungan belasan tahun mengedarkan bungkusan kurma kepada para jemaah. Selepas seorang datang memberi bungkusan kurma, datang pula seorang yang lain bersama bungkusan yang baru. Akhirnya, tiga bungkusan kurma diterima dengan setiap bungkusan terdapat dalam 5-6 biji kurma. Air zam-zam diisi didalam botol sebagai persediaan menghilangkan dahaga. Kemudian, datang pula remaja yang lain sambil membawa air teh dan kopi arab untuk diedarkan kepada para jemaah.

 Azan berkumandang, tamar ditelan satu persatu, hampir 8-9 biji kurma dihabiskan setiap kali berbuka, satu pencapaian tertinggi, kerana kebiasaannya, hanya 2 biji kurma dihabiskan ketika berbuka. Tetapi, oleh kerana tiada makanan berat disediakan, hanya tamar yang ada untuk mengalas perut. Disebabkan hotel penginapan jauh daripada masjid, niat ingin pulang bagi menikmati makanan lain selepas Maghrib dilupakan. Usai tamat Tarawikh, barulah perut diisi dengan makanan yang berat.



4 hari Ramadhan di Mekah dinikmati dengan sepenuhnya. 13 Julai 2013, hari kepulangan ke Malaysia. Perasaan bercampur baur, sedih untuk meninggalkan kota suci Mekah dan tidak sabar untuk berjumpa menatap ahli keluarga di tanah air yang sudah hampir setahun tidak bersua. Kerinduan kepada tanah haram dilepaskan saat tawaf Wida’ dilaksanakan.  Azam dipadu untuk menjejakkan kaki lagi ke tanah yang penuh barakah ini. 

Coretan Travelog Umrah 7: Makkah, Bumi Perjuangan, yang kian dilupakan.

Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, bermaksud, hari untuk pulang ke Malaysia juga semakin hampir. Semakin menghampiri Ramadhan, Mekah menjadi semakin sesak dengan kehadiran lebih ramai jemaah. Ada terdengar orang mengatakan bahawa kadang kala musim Ramadhan di Mekah hampir sama ramainya ketika musim haji! Subhanallah. Perasaan pun tidak sabar untuk menyambut Ramadhan buat pertama kali di luar Malaysia, khususnya di tanah suci Mekah ini.

Beberapa hari sebelum Ramadhan, kami meneruskan ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Mekah. Ziarah kali ini lebih mencabar. Jabal Nur, bukit yang terletaknya Gua Hira’ menjadi destinasi seterusnya. Jika sebelum ini Jabal Thur hanya dikunjungi dan dilihat dari bawah, target kali ini ingin menawan Jabal Nur sehingga ke puncak. Selepas Solat Subuh, sekadar melepaskan lelah sekejap di bilik hotel. Hampir pukul 6 pagi, kami keluar dari bilik hotel, masing-masing kelihatan bersemangat untuk menawan Jabal Nur pada pagi ini dan menghayati sirah perjuangan baginda ketika menerima wahyu pertama di Gua Hira’. 

Melepaskan dahaga saat mendaki Jabal Nur.
Ustaz Ahmad sudah menunggu kami. Bas dinaiki dan terus meluncur membelah kesesakan Mekah yang tidak pernah tidur. Kata orang, Las Vegas ‘is a city that never sleep’, tapi bagi saya, Mekah lebih layak menerima ‘title’ tersebut. Bumi tandus yang penuh barokah. Dalam perjalanan menuju destinasi, Ustaz Ahmad tidak berhenti berkongsi sirah Rasulullah, khususnya kisah baginda di Gua Hira’. Sekali sekala Ustaz berceloteh membuat lawak, membuatkan kami semua peserta jemaah tidak kering gusi. Ustaz mengingatkan kami agar sentiasa ‘enjoy and happy’. 

Sayup kelihatan pemandangan dari puncak Jabal Nur.


Ini merupakan kali kedua kami tiba dikaki Jabal Nur. Pertama kali kami sampai ke sini ialah selepas kami menziarahi Jabal Thur tempoh hari. Sangkaan awal dan semenjak kecil lagi, Jabal Nur tidaklah berapa tinggi. Sangkaan tersebut meleset sama sekali. Tinggi Jabal Nur lebih kurang 200meter, dan membuatkannya lebih mencabar ialah kecuraman yang boleh dikatakan ekstrem. Sesampainya kami di bawah bukit, kami perlu berjalan sedikit sebelum sampai betul-betul ke tempat permulaan pendakian di kaki bukit. Perjalanan ke kaki bukit ini pun sudah mencabar apabila kami perlu melalui jalan raya berbukit yang mana kecuramannya mencecah 60-70 darjah. Tetapi, apa yang mengujakan kami, kelihatan ramai makcik-makcik dan juga pakcik-pakcik daripada Turki turun menuruni Jabal Nur melepasi kami, mereka baru selesai menawan Jabal Nur. Hebat! Sebagai bekalan, beberapa botol air minuman dibeli di kedai runcit yang terletak di kaki bukit. Ustaz Ahmad memulakan pendakian, diikuti kami. Tangga yang disediakan sehingga ke puncak bukit sedikit memudahkan perjalanan. Tetapi, pendakian Jabal Nur, bukit batu tersebut masih tetap mencabar.


Manusia berpusu-pusu masuk ke Gua Hira' yang kecil.
 Seperti biasa, dikiri kanan jalan akan ada para peminta sedekah, tetapi sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk membersihkan sampah-sampah di sepanjang laluan. Ada juga antara mereka yang membantu memperbaiki tangga yang rosak dengan menyimen kembali laluan.

Ustaz Ahmad amat pantas mendaki, entah keberapa kali agaknya dia menawan bukit barakah ini. Saya cuba mengekori merapati beliau. Saat tapak demi tapak diatur, fikiran kembali teringat akan Rasulullah, bagaimana baginda mengasingkan diri mencari ketenangan daripada masyarakat Arab Jahiliyyah yang sudah jauh terpesong dari agama samawi. Bagaimana agaknya baginda mendaki Jabal Nur suatu masa dahulu, tanpa kemudahan tangga yang tersedia seoerti hari ini, ditambah batu-batu yang berbahaya, curam yang menggerunkan, sudah tentu perjalanan perjuangan baginda penuh liku. 

Bersama Ustaz Ahmad dan Akhi Amzar di puncak Jabal Nur.
Walaubagaimanapun, alangkah runtunnya hati apabila dari bawah sehinggalah tiba di puncak, bukit yang bersejarah  yang menyaksikan permulaan wahyu kepada nabi tercinta, dipenuhi sampah sarap yang sangat menyakitkan mata memandang.  Botol-botol kosong menimbun tinggi, beg plastik bersepah dikiri kanan jalan. Lebih kurang 40 minit mendaki, puncak Jabal Nur ditawan.Hanya ucapan Subhanallah terukir dibibir saat mata terpaku melihat pemandangan Mekah dari puncak bukit. Beberapa bukit kecil memenuhi Mekah. Zam-Zam Tower berdiri megah, menghalang Masjidil Haram daripada pandangan. 

Pemandangan daripuncak Jabal Nur.

Dari puncak, terserlah identiti kota Mekah yang berbumi tandus dan berbukit bukau, tetapi menjadi makmur dengan kehadiran Islam.

Diatas puncak, terdapat sebuah kedai yang serba sederhana, menjual air minuman dan juga barang-barang seperti tasbih kepada pengunjung. Berjalan sedikit ke hadapan, tersergam Gua Hira’ yang terletak sedikit kebawah bukit, lebih kurang 5 meter dari puncak. Ramai orang sedang menunggu giliran untuk memasuki gua tersebut yang hanya mampu memuatkan seorang atau dua dalam satu-satu masa. Membayangkan situasi Rasulullah ketika masa dahulu, sememangnya Gua Hira’ di Jabal Nur ini tempat yang terbaik untuk mencari ketenangan daripada hiruk pikuk manusia, aman damai. 

Sedih, Jabal Nur kelihatan seperti tempat pembuangan sampah.
Tetapi seperti sebelumnya, keadaan puncak yang turut dikotori dengan sampah sarap yang dibuang oleh para pengunjung amat menyedihkan hati. Perasaan marah menjadi membara apabila melihat pengunjung yang sedang menunggu giliran memasuki Gua Hira’ mencampak botol kosong dan sampah lain ke bawah bukit sewenang-wenangnya. Sedangkan Allah dan Rasulullah amat mencintai kebersihan. Hanya keluhan berat yang mampu kami keluarkan. Setelah puas menghayati pemandangan, Ustaz Ahmad memberi sedikit pengisian kepada para peserta jemaah mengenai perjuangan baginda Rasulullah, dan juga peringatan kepada kami dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar Muslim. 


Pengisian ringkas daripada Ustaz Ahmad kepada para jemaah.
Sebelum turun, akhi Mus’ab mengagih-agihkan plastik sampah kepada para peserta, dengan misi untuk mengumpul seberapa banyak sampah yang boleh sepanjang perjalanan menuruni Jabal Nur nanti. Sekurang-kurangnya kita tidak sekadar mengeluh dan mengeluarkan komen terhadap apa yang berlaku, sebaliknya kita membantu menyelesaikan masalah walaupun kesannya mungkin sedikit. Keletihan terpancar dimuka setiap peserta.

Coretan Travelog Umrah 6: Bumi Tarbiyah, Pengubat Jiwa Yang Lelah.

Ziarah pada hari ke-3 tersebut diteruskan lagi dengan melalui Muzdalifah dan Mina. Ketika itu, kawasan tersebut kosong tiada penghuni, yang kelihatan hanyalah khemah-khemah putih yang mungkin bilangannya mencapai ratusan atau ribuan. Masing-masing menanti kehadiran jemaah haji yang akan berkunjung tiba beberapa bulan sahaja lagi.

Kemudian, kami berkunjung ke Ja’ranah iaitu salah satu tempat Miqat. Kami merancang untuk melakukan umrah untuk kali kedua pada hari ini. Di Ja’ranah, kami mengambil kesempatan untuk membersihkan diri, berihram dan berniat ihram. Masjid Ja’ranah dipenuhi dengan jemaah daripada Indonesia dan juga Malaysia yang ingin mengerjakan umrah.  Dalam perjalanan pulang ke hotel, azam disemat didalam diri untuk melakukan umrah kali ini lebih baik daripada umrah pertama yang dilakukan ketika pertama kali menjejakkan kaki di tanah suci Mekah. 


Laluan untuk berSa'i.


Dengan keadaan diri kali ini yang lebih bertenaga dan bersedia mental dan fizikal berbanding umrah pertama yang dilaksanakan ketika badan lemah keletihan. Ditambah pula umrah kali ini saya dapat melakukannya berseorangan tanpa perlu mengikut atau menunggu sesiapa,  doa dipanjatkan agar umrah kali ini mendatangkan perasaan yang lebih khusyuk dan  dapat disempurnakan dengan lebih baik. Kami tiba di hotel dalam pukul 10.30 pagi, saya merancang untuk melaksanakan umrah selepas Asar selepas memikirkan cuaca yang amat panas jika dilaksanakan selepas Zohor manakala orang ramai akan lebih sesak diwaktu malam. Ibadat Umrah merupakan ibadat yang melibatkan fizikal, jadi, perancangan yang rapi perlu dibuat agar kita tidak tersilap langkah sehingga memberi kesan buruk kepada tubuh badan, yang mana akan merugikan diri kita sendiri apabila ibadat seterusnya tidak dapat dilaksanakan.

Alhamdulillah, umrah yang dilaksanakan dalam keadaan yang lebih bersedia dan bertenaga akan mendatangkan keasyikan yang amat mendalam. Saat tawaf mengelilingi kaabah, terasa betapa hina dan kerdilnya diri ini, mengharapkan keampunan dan pertolongan daripada Allah dibawah panas terik mentari. Amat kagum melihat pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang turut bersungguh-sungguh melaksanakan tawaf di bawah kepanasan mentari yang memerah keringat. Semakin teruja apabila melihat pakcik yang bertongkat tetap terus melangkah tapak demi tapak menyelesaikan rukun umrah ini. Kesilauan sinaran mentari musim panas yang dipantulkan lantai marmar memeningkan kepala kerana keadaan diri ini yang sememangnya tidak tahan silau. Walaubagaimanapun, klip kaca mata hitam yang dibawa membantu mengurangkan ketidakselesaan. 

Dari kejauhan,orang ramai kelihatan berpusu-pusu saling tolak-menolak untuk mengucup Hajarul Aswad, bahkan ada beberapa wanita turut cuba beradu tenaga mengejar sunnah nabi tersebut. Kadang kala, saya didatangi oleh pemuda-pemuda yang bercakap didalam bahasa Indonesia, menawarkan untuk membawa saya mengucup Hajarul Aswad. Tetapi saya menolaknya apabila  mengingatkan pesanan sahabat yang bercerita mengenai ‘servis’ ini yang diakhirnya, akan mengeringkan wang kita, bahkan bayaran yang dikenakan nanti boleh mencecah sehingga 500 Riyal. Langkahan diatas lantai marmar semasa melakukan tawaf di’hibur’kan dengan bunyi mesin gerudi, ketukan-ketukan besi pekerja-pekerja pembinaan yang sedang giat melakukan pembesaran Masjidil Haram. 

Di dataran tawaf yang memutih ini, pelbagai gelagat manusia dapat disaksikan. ‘Tok Sheikh’ Arab yang menjaga Maqam Ibrahim memarahi jemaah-jemaah yang mengganggu kelancaran pergerakan tawaf apabila berhenti di maqam tersebut, bahkan ada yang mengucup-ngucup cermin yang menutupi kesan tapak kaki Nabi iBrahim tersebut, lalu kedengaranlah suara ‘Tok Sheikh’ tersebut menjerit; “Syirik!!Harromm!!”. Di sekeliling Kaabah pula, ada sebahagian jemaah melekapkan muka ke dinding Kaabah, dan ada pula yang mengusap-usap Kaabah menggunakan tangan. Didalam kesesakan manusia yang sedang memperhambakan diri kepada Tuhannya, kadang kala dilanggar oleh jemaah lain yang mengejar kumpulannya dihadapan. Kesabaran benar-benar teruji sepanjang berada di tanah suci ini. Ego perlu dibuang jauh-jauh. 

Selesai melaksanakan tawaf dan solat sunat tawaf, lantas tong air zam-zam dicari untuk melepaskan tekak yang kekeringan dahaga. Setelah puas menikmati air zam-zam dan melepaskan lelah, disambung ibadat umrah dengan bersa’i pula. Laluan sa’i di tingkat 2 dituju memandangkan laluan di tingkat 1 sentiasa sesak dengan jemaah-jemaah lain. Tempat sa’i yang berhawa dingin mengurangkan keletihan. Tetapi kaki pula yang kesejukan menapak diatas lantai marmar. Ah!manusia memang tidak pernah bersyukur dan puas. Dari Safa menuju ke Marwah, kemudian berpatah balik ke Safa, sehinggalah selesai 7 pusingan. Alhamdulillah, berasa lebih berpuas hati dengan umrah kedua yang dilakukan ini. Setelah selesai umrah, doa pula dipanjatkan semoga semua ibadat yang dilakukan diterima olehNya.


Coretan Travelog Umrah 5: Makkah, bumi 'seribu bukit'.

Perasaan syahdu amat dirasa saat solat berimamkan Imam Abdul Rahman As-Sudais, antara imam yang diminati bacaannya. Alunan bacaan ayat suci Al-Quran beliau yang menusuk jiwa memang mengasyikkan. Satu peluang yang sudah ditunggu sekian lama, yang mana sebelum ini sekadar mendengar bacaannya di corong radio ataupun televisyen.

Suasana Makkah yang sentiasa sibuk.

Salah satu kelainan yang terdapat di Mekah berbanding Madinah ialah bilangan peminta sedekah yang amat ramai disini. Lebih menyedihkan, terdapat beberapa kanak-kanak perempuan yang kudung tangan diletakkan ditepi-tepi jalan menghala ke Masjidil Haram untuk meminta sedekah. Apa yang menyedihkan ialah kelihatan kanak-kanak yang tidak berdosa ini seperti ‘dikud ungkan’ atau ‘dicacatkan’ dan terdapat sindiket yang mengerah mereka untuk meminta sedekah. Tidak kurang juga ‘pak-cik2’ yang tempang atau ‘ditempangkan’ kaki mereka turut meminta sedekah daripada jemaah yang lalu lalang. Akhi Mus’ab berkongsi nasihat: “Walaupun pemberian yang kita beri tidak mampu untuk menyelesaikan masalah dasar (‘root’) mereka, sekurang-kurangnya, kita niatkan untuk bersedekah”.Alangkah sedih dan hibanya memikirkan begini jadinya nasib umat Islam. Kadang-kadang tidak sanggup rasanya untuk melihat keadaan mereka yang menyayat hati, dipergunakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Apa yang mampu dilakukan hanya berdoa kepada Allah agar terus memelihara dan meninggikan kembali martabat umat Islam.

Jabal Thur yang tinggi sayup mata memandang.


Hari ke-3 di Mekah, diteruskan dengan ziarah ke Jabal Thur, bukit yang terletaknya Gua Thur. Gua yang menyaksikan perjuangan Rasulullah berhijrah ke Madinah. Sayup kelihatan puncak Jabal Thur yang menjulang tinggi daripada bawah. Menghayati Sirah perjuangan Rasulullah dan sahabat baginda, Abu Bakar yang menemani baginda berhijrah ke Madinah, mempertaruhkan nyawa daripada dibunuh oleh musyrikin Mekah. Ziarah kemudiannya diteruskan ke Jabal Rahmah. Ustaz Ahmad, mutawif dan jugak ‘juru pandu pelancong’ kami menceritakan bahawa di Jabal Rahmah lah tempat dimana Adam dan Hawa bertemu setelah dipisahkan saat dikeluarkan dari syurga. Lantas saya bertanya jika terdapat kisah tersebut didalam Al-Quran ataupun mana-mana dalil yang mengisahkan peristiwa tersebut. Jawapan ustaz, kisah tersebut tiada didalam Al-Quran tetapi ada diceritakan didalam kitam Raheeq Makhtum dan Zaadul Ma’ad (maaf jika salah informasi). Sehingga kini (26/7), saya masih belum memeriksa kisah ini didalam kedua-dua kitab tersebut. Ustaz turut menceritakan bahawa digalakkan untuk mendoakan jodoh kita diatas bukit ini (Wallahua’lam, saya tidak tahu dalilnya, terlupa untuk bertanya ustaz).


Di puncak Jabal Rahmah, menahan panas mentari.
Seperti hari-hari sebelumnya, panas terik terus cemerlang memancar ke bumi Mekah. Walaubagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat ramai orang yang tetap berpusu-pusu memanjat Jabal Rahmah tersebut. Sepanjang memanjat Jabal Rahmah tersebut, kelihatan beberapa peminta sedekah dikiri kanan bukit yang cacat atau ‘dicacatkan’ beberapa bahagian badan mereka. Perasaan hiba memikirkan nasib umat Islam kembali lagi dan semakin memuncak apabila sampai puncak bukit, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berkulit hitam (tiada unsur rasis disini) yang kudung kedua-dua belah tangannya terbaring meminta sedekah daripada jemaah yang sedang bersesak-sesak diatas bukit tersebut. Lantas saya terfikir, bagaimana kanak-kanak tersebut, dengan kekurangan yang beliau mampu memanjat bukit tersebut.  

Sayu melihat keadaan ummat yang berpusu membuat perkara sia-sia.

Diatas bukit ini juga kami menyaksikan orang ramai berebut-rebut untuk menulis nama pada satu monument konkrit yang dibina ditengah-tengah puncak bukit. Suasana tersebut sangat pelik, padanlah, Ustaz Ahmad melarang kami untuk turut melakukannya, kerana ia perbuatan khurafat jika meyakini dengan menulis nama diatas batu tersebut, kasih sayang akan terbina. ‘Criminal aqidah’ kata ustaz. Kami berlalu turun daripada bukit meninggalkan orang ramai yang masih bersesak berebut untuk mencoret nama pada monumen tersebut.