Saturday, 28 March 2015

Coretan Travelog Umrah 7: Makkah, Bumi Perjuangan, yang kian dilupakan.

Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, bermaksud, hari untuk pulang ke Malaysia juga semakin hampir. Semakin menghampiri Ramadhan, Mekah menjadi semakin sesak dengan kehadiran lebih ramai jemaah. Ada terdengar orang mengatakan bahawa kadang kala musim Ramadhan di Mekah hampir sama ramainya ketika musim haji! Subhanallah. Perasaan pun tidak sabar untuk menyambut Ramadhan buat pertama kali di luar Malaysia, khususnya di tanah suci Mekah ini.

Beberapa hari sebelum Ramadhan, kami meneruskan ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Mekah. Ziarah kali ini lebih mencabar. Jabal Nur, bukit yang terletaknya Gua Hira’ menjadi destinasi seterusnya. Jika sebelum ini Jabal Thur hanya dikunjungi dan dilihat dari bawah, target kali ini ingin menawan Jabal Nur sehingga ke puncak. Selepas Solat Subuh, sekadar melepaskan lelah sekejap di bilik hotel. Hampir pukul 6 pagi, kami keluar dari bilik hotel, masing-masing kelihatan bersemangat untuk menawan Jabal Nur pada pagi ini dan menghayati sirah perjuangan baginda ketika menerima wahyu pertama di Gua Hira’. 

Melepaskan dahaga saat mendaki Jabal Nur.
Ustaz Ahmad sudah menunggu kami. Bas dinaiki dan terus meluncur membelah kesesakan Mekah yang tidak pernah tidur. Kata orang, Las Vegas ‘is a city that never sleep’, tapi bagi saya, Mekah lebih layak menerima ‘title’ tersebut. Bumi tandus yang penuh barokah. Dalam perjalanan menuju destinasi, Ustaz Ahmad tidak berhenti berkongsi sirah Rasulullah, khususnya kisah baginda di Gua Hira’. Sekali sekala Ustaz berceloteh membuat lawak, membuatkan kami semua peserta jemaah tidak kering gusi. Ustaz mengingatkan kami agar sentiasa ‘enjoy and happy’. 

Sayup kelihatan pemandangan dari puncak Jabal Nur.


Ini merupakan kali kedua kami tiba dikaki Jabal Nur. Pertama kali kami sampai ke sini ialah selepas kami menziarahi Jabal Thur tempoh hari. Sangkaan awal dan semenjak kecil lagi, Jabal Nur tidaklah berapa tinggi. Sangkaan tersebut meleset sama sekali. Tinggi Jabal Nur lebih kurang 200meter, dan membuatkannya lebih mencabar ialah kecuraman yang boleh dikatakan ekstrem. Sesampainya kami di bawah bukit, kami perlu berjalan sedikit sebelum sampai betul-betul ke tempat permulaan pendakian di kaki bukit. Perjalanan ke kaki bukit ini pun sudah mencabar apabila kami perlu melalui jalan raya berbukit yang mana kecuramannya mencecah 60-70 darjah. Tetapi, apa yang mengujakan kami, kelihatan ramai makcik-makcik dan juga pakcik-pakcik daripada Turki turun menuruni Jabal Nur melepasi kami, mereka baru selesai menawan Jabal Nur. Hebat! Sebagai bekalan, beberapa botol air minuman dibeli di kedai runcit yang terletak di kaki bukit. Ustaz Ahmad memulakan pendakian, diikuti kami. Tangga yang disediakan sehingga ke puncak bukit sedikit memudahkan perjalanan. Tetapi, pendakian Jabal Nur, bukit batu tersebut masih tetap mencabar.


Manusia berpusu-pusu masuk ke Gua Hira' yang kecil.
 Seperti biasa, dikiri kanan jalan akan ada para peminta sedekah, tetapi sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk membersihkan sampah-sampah di sepanjang laluan. Ada juga antara mereka yang membantu memperbaiki tangga yang rosak dengan menyimen kembali laluan.

Ustaz Ahmad amat pantas mendaki, entah keberapa kali agaknya dia menawan bukit barakah ini. Saya cuba mengekori merapati beliau. Saat tapak demi tapak diatur, fikiran kembali teringat akan Rasulullah, bagaimana baginda mengasingkan diri mencari ketenangan daripada masyarakat Arab Jahiliyyah yang sudah jauh terpesong dari agama samawi. Bagaimana agaknya baginda mendaki Jabal Nur suatu masa dahulu, tanpa kemudahan tangga yang tersedia seoerti hari ini, ditambah batu-batu yang berbahaya, curam yang menggerunkan, sudah tentu perjalanan perjuangan baginda penuh liku. 

Bersama Ustaz Ahmad dan Akhi Amzar di puncak Jabal Nur.
Walaubagaimanapun, alangkah runtunnya hati apabila dari bawah sehinggalah tiba di puncak, bukit yang bersejarah  yang menyaksikan permulaan wahyu kepada nabi tercinta, dipenuhi sampah sarap yang sangat menyakitkan mata memandang.  Botol-botol kosong menimbun tinggi, beg plastik bersepah dikiri kanan jalan. Lebih kurang 40 minit mendaki, puncak Jabal Nur ditawan.Hanya ucapan Subhanallah terukir dibibir saat mata terpaku melihat pemandangan Mekah dari puncak bukit. Beberapa bukit kecil memenuhi Mekah. Zam-Zam Tower berdiri megah, menghalang Masjidil Haram daripada pandangan. 

Pemandangan daripuncak Jabal Nur.

Dari puncak, terserlah identiti kota Mekah yang berbumi tandus dan berbukit bukau, tetapi menjadi makmur dengan kehadiran Islam.

Diatas puncak, terdapat sebuah kedai yang serba sederhana, menjual air minuman dan juga barang-barang seperti tasbih kepada pengunjung. Berjalan sedikit ke hadapan, tersergam Gua Hira’ yang terletak sedikit kebawah bukit, lebih kurang 5 meter dari puncak. Ramai orang sedang menunggu giliran untuk memasuki gua tersebut yang hanya mampu memuatkan seorang atau dua dalam satu-satu masa. Membayangkan situasi Rasulullah ketika masa dahulu, sememangnya Gua Hira’ di Jabal Nur ini tempat yang terbaik untuk mencari ketenangan daripada hiruk pikuk manusia, aman damai. 

Sedih, Jabal Nur kelihatan seperti tempat pembuangan sampah.
Tetapi seperti sebelumnya, keadaan puncak yang turut dikotori dengan sampah sarap yang dibuang oleh para pengunjung amat menyedihkan hati. Perasaan marah menjadi membara apabila melihat pengunjung yang sedang menunggu giliran memasuki Gua Hira’ mencampak botol kosong dan sampah lain ke bawah bukit sewenang-wenangnya. Sedangkan Allah dan Rasulullah amat mencintai kebersihan. Hanya keluhan berat yang mampu kami keluarkan. Setelah puas menghayati pemandangan, Ustaz Ahmad memberi sedikit pengisian kepada para peserta jemaah mengenai perjuangan baginda Rasulullah, dan juga peringatan kepada kami dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar Muslim. 


Pengisian ringkas daripada Ustaz Ahmad kepada para jemaah.
Sebelum turun, akhi Mus’ab mengagih-agihkan plastik sampah kepada para peserta, dengan misi untuk mengumpul seberapa banyak sampah yang boleh sepanjang perjalanan menuruni Jabal Nur nanti. Sekurang-kurangnya kita tidak sekadar mengeluh dan mengeluarkan komen terhadap apa yang berlaku, sebaliknya kita membantu menyelesaikan masalah walaupun kesannya mungkin sedikit. Keletihan terpancar dimuka setiap peserta.

No comments:

Post a Comment