Saat kau tersembam tersungkur dahulu, kau punya Tuhan untuk kau hulurkan tangan.
Kuat.
Kini kau tersungkur mencium tanah kembali, kau sudah 'tiada' Tuhan.
Celakanya badan.
Bukan kerana Tuhan yang tidak ada,
Tapi kerana tangan kau yang sudah membusuk hina,
Malu ingin dihulur kembali tangan yang pernah disambutNya dulu,
Lantas kau layu, layu menanah dalam kelemasan.
Wednesday, 29 April 2015
Saturday, 28 March 2015
Coretan Travelog Umrah 8: Akan ku Jejak Lagi Bumi Barakah Ini.
Tiada penyimpan mohor besar raja-raja yang
membuat pengumuman mulanya berpuasa disini. Malam pertama Ramadhan, manusia
penuh sesak di Masjidil Haram dan di Mekah amnya. Tarawikh pertama di Masjidil
Haram ditunggu-tunggu.
![]() |
Malam pertama Ramadhan di Masjidil Haram. |
Menakjubkan! Sungguh, pengalaman bertarawikh di Masjidil
Haram benar-benar menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan. 20 rakaat
tanpa henti, dengan hanya rehat sebentar setelah 10 rakaat yang pertama,
bersama ribuan manusia. Letih, namun kepuasan yang tidak terhingga. Ramadhan
yang penuh barakah dan dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda semakin
merancakkan aktiviti ibadat para jemaah disini. Umrah yang dilaksanakan ketika
Ramadhan dijanjikan pahala yang sama seperti pahala haji. Lantas para peserta
jemaah menggunakan peluang yang ada untuk meraih ganjaran yang ditawarkan oleh
Allah ini.
Berbagai strategi dirancang untuk melaksanakan
umrah ketika bulan puasa ini, memandangkan cuaca panas terik perlu dihadapi.
Ada daripada peserta yang keluar ke Miqat (di Tan’im) pada pukul 1.30 pagi,
untuk mengelakkan kesesakan orang ramai, kemudian terus melaksanakan
rukun-rukun umrah yang lain sehingga tiba waktu Subuh. Kelebihannya, boleh
membasahi tekak dengan air zam-zam jika terasa haus ketika melaksanakan umrah
tersebut. Tetapi, waktu tidur waktu malam pula terpaksa dikorbankan. Manakala,
sebahagian lagi peserta jemaah menggunakan strategi melaksanakan umrah selepas
waktu Subuh, tidur malam yang mencukupi diperoleh, dan bertenaga melaksanakan
umrah, tetapi, tidak berpeluang menghilangkan dahaga jika keletihan. Berbagai
ragam, semata-mata demi memperoleh redhaNya.
Detik berbuka ditunggu penuh sabar di dalam
Masjidil Haram. Meriah. Sebahagian besar jemaah memenuhi masa dengan bertadarus
Al-Quran, sebahagian lagi melelapkan mata mengumpul tenaga untuk bertarawikh
pada malamnya, ada juga yang duduk memerhati gelagat para jemaah lain.
Menghampiri waktu berbuka, lapik makan dihampar di setiap saf solat, beberapa
anak muda yang berumur dalam lingkungan belasan tahun mengedarkan bungkusan
kurma kepada para jemaah. Selepas seorang datang memberi bungkusan kurma,
datang pula seorang yang lain bersama bungkusan yang baru. Akhirnya, tiga
bungkusan kurma diterima dengan setiap bungkusan terdapat dalam 5-6 biji kurma.
Air zam-zam diisi didalam botol sebagai persediaan menghilangkan dahaga.
Kemudian, datang pula remaja yang lain sambil membawa air teh dan kopi arab
untuk diedarkan kepada para jemaah.
Azan berkumandang, tamar ditelan satu
persatu, hampir 8-9 biji kurma dihabiskan setiap kali berbuka, satu pencapaian
tertinggi, kerana kebiasaannya, hanya 2 biji kurma dihabiskan ketika berbuka.
Tetapi, oleh kerana tiada makanan berat disediakan, hanya tamar yang ada untuk
mengalas perut. Disebabkan hotel penginapan jauh daripada masjid, niat ingin
pulang bagi menikmati makanan lain selepas Maghrib dilupakan. Usai tamat
Tarawikh, barulah perut diisi dengan makanan yang berat.
4 hari Ramadhan di Mekah dinikmati dengan
sepenuhnya. 13 Julai 2013, hari kepulangan ke Malaysia. Perasaan bercampur
baur, sedih untuk meninggalkan kota suci Mekah dan tidak sabar untuk berjumpa
menatap ahli keluarga di tanah air yang sudah hampir setahun tidak bersua.
Kerinduan kepada tanah haram dilepaskan saat tawaf Wida’ dilaksanakan. Azam dipadu untuk menjejakkan kaki lagi ke
tanah yang penuh barakah ini.
Coretan Travelog Umrah 7: Makkah, Bumi Perjuangan, yang kian dilupakan.
Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja
lagi, bermaksud, hari untuk pulang ke Malaysia juga semakin hampir. Semakin
menghampiri Ramadhan, Mekah menjadi semakin sesak dengan kehadiran lebih ramai
jemaah. Ada terdengar orang mengatakan bahawa kadang kala musim Ramadhan di
Mekah hampir sama ramainya ketika musim haji! Subhanallah. Perasaan pun tidak
sabar untuk menyambut Ramadhan buat pertama kali di luar Malaysia, khususnya di
tanah suci Mekah ini.
Beberapa hari sebelum Ramadhan, kami
meneruskan ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Mekah. Ziarah kali ini lebih
mencabar. Jabal Nur, bukit yang terletaknya Gua Hira’ menjadi destinasi
seterusnya. Jika sebelum ini Jabal Thur hanya dikunjungi dan dilihat dari
bawah, target kali ini ingin menawan Jabal Nur sehingga ke puncak. Selepas
Solat Subuh, sekadar melepaskan lelah sekejap di bilik hotel. Hampir pukul 6
pagi, kami keluar dari bilik hotel, masing-masing kelihatan bersemangat untuk
menawan Jabal Nur pada pagi ini dan menghayati sirah perjuangan baginda ketika
menerima wahyu pertama di Gua Hira’.
Melepaskan dahaga saat mendaki Jabal Nur. |
Ustaz Ahmad sudah menunggu kami. Bas
dinaiki dan terus meluncur membelah kesesakan Mekah yang tidak pernah tidur.
Kata orang, Las Vegas ‘is a city that never sleep’, tapi bagi saya, Mekah lebih
layak menerima ‘title’ tersebut. Bumi tandus yang penuh barokah. Dalam
perjalanan menuju destinasi, Ustaz Ahmad tidak berhenti berkongsi sirah
Rasulullah, khususnya kisah baginda di Gua Hira’. Sekali sekala Ustaz
berceloteh membuat lawak, membuatkan kami semua peserta jemaah tidak kering
gusi. Ustaz mengingatkan kami agar sentiasa ‘enjoy and happy’.
Sayup kelihatan pemandangan dari puncak Jabal Nur. |
Ini merupakan kali kedua kami tiba dikaki
Jabal Nur. Pertama kali kami sampai ke sini ialah selepas kami menziarahi Jabal
Thur tempoh hari. Sangkaan awal dan semenjak kecil lagi, Jabal Nur tidaklah
berapa tinggi. Sangkaan tersebut meleset sama sekali. Tinggi Jabal Nur lebih
kurang 200meter, dan membuatkannya lebih mencabar ialah kecuraman yang boleh
dikatakan ekstrem. Sesampainya kami di bawah bukit, kami perlu berjalan sedikit
sebelum sampai betul-betul ke tempat permulaan pendakian di kaki bukit.
Perjalanan ke kaki bukit ini pun sudah mencabar apabila kami perlu melalui
jalan raya berbukit yang mana kecuramannya mencecah 60-70 darjah. Tetapi, apa
yang mengujakan kami, kelihatan ramai makcik-makcik dan juga pakcik-pakcik
daripada Turki turun menuruni Jabal Nur melepasi kami, mereka baru selesai
menawan Jabal Nur. Hebat! Sebagai bekalan, beberapa botol air minuman dibeli di
kedai runcit yang terletak di kaki bukit. Ustaz Ahmad memulakan pendakian,
diikuti kami. Tangga yang disediakan sehingga ke puncak bukit sedikit
memudahkan perjalanan. Tetapi, pendakian Jabal Nur, bukit batu tersebut masih
tetap mencabar.
Manusia berpusu-pusu masuk ke Gua Hira' yang kecil. |
Seperti biasa, dikiri kanan jalan akan ada para peminta
sedekah, tetapi sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk membersihkan
sampah-sampah di sepanjang laluan. Ada juga antara mereka yang membantu
memperbaiki tangga yang rosak dengan menyimen kembali laluan.
Ustaz Ahmad amat pantas mendaki, entah
keberapa kali agaknya dia menawan bukit barakah ini. Saya cuba mengekori
merapati beliau. Saat tapak demi tapak diatur, fikiran kembali teringat akan
Rasulullah, bagaimana baginda mengasingkan diri mencari ketenangan daripada
masyarakat Arab Jahiliyyah yang sudah jauh terpesong dari agama samawi.
Bagaimana agaknya baginda mendaki Jabal Nur suatu masa dahulu, tanpa kemudahan
tangga yang tersedia seoerti hari ini, ditambah batu-batu yang berbahaya, curam
yang menggerunkan, sudah tentu perjalanan perjuangan baginda penuh liku.
Bersama Ustaz Ahmad dan Akhi Amzar di puncak Jabal Nur. |
Walaubagaimanapun,
alangkah runtunnya hati apabila dari bawah sehinggalah tiba di puncak, bukit
yang bersejarah yang menyaksikan
permulaan wahyu kepada nabi tercinta, dipenuhi sampah sarap yang sangat
menyakitkan mata memandang. Botol-botol
kosong menimbun tinggi, beg plastik bersepah dikiri kanan jalan. Lebih kurang
40 minit mendaki, puncak Jabal Nur ditawan.Hanya ucapan Subhanallah terukir
dibibir saat mata terpaku melihat pemandangan Mekah dari puncak bukit. Beberapa
bukit kecil memenuhi Mekah. Zam-Zam Tower berdiri megah, menghalang Masjidil
Haram daripada pandangan.
Pemandangan daripuncak Jabal Nur. |
Dari puncak, terserlah identiti kota Mekah yang
berbumi tandus dan berbukit bukau, tetapi menjadi makmur dengan kehadiran
Islam.
Diatas puncak, terdapat sebuah kedai yang
serba sederhana, menjual air minuman dan juga barang-barang seperti tasbih
kepada pengunjung. Berjalan sedikit ke hadapan, tersergam Gua Hira’ yang
terletak sedikit kebawah bukit, lebih kurang 5 meter dari puncak. Ramai orang
sedang menunggu giliran untuk memasuki gua tersebut yang hanya mampu memuatkan
seorang atau dua dalam satu-satu masa. Membayangkan situasi Rasulullah ketika
masa dahulu, sememangnya Gua Hira’ di Jabal Nur ini tempat yang terbaik untuk
mencari ketenangan daripada hiruk pikuk manusia, aman damai.
Sedih, Jabal Nur kelihatan seperti tempat pembuangan sampah. |
Tetapi seperti
sebelumnya, keadaan puncak yang turut dikotori dengan sampah sarap yang dibuang
oleh para pengunjung amat menyedihkan hati. Perasaan marah menjadi membara
apabila melihat pengunjung yang sedang menunggu giliran memasuki Gua Hira’
mencampak botol kosong dan sampah lain ke bawah bukit sewenang-wenangnya.
Sedangkan Allah dan Rasulullah amat mencintai kebersihan. Hanya keluhan berat
yang mampu kami keluarkan. Setelah puas menghayati pemandangan, Ustaz Ahmad
memberi sedikit pengisian kepada para peserta jemaah mengenai perjuangan
baginda Rasulullah, dan juga peringatan kepada kami dalam menjalani kehidupan
sebagai seorang pelajar Muslim.
Pengisian ringkas daripada Ustaz Ahmad kepada para jemaah. |
Sebelum turun, akhi Mus’ab mengagih-agihkan
plastik sampah kepada para peserta, dengan misi untuk mengumpul seberapa banyak
sampah yang boleh sepanjang perjalanan menuruni Jabal Nur nanti.
Sekurang-kurangnya kita tidak sekadar mengeluh dan mengeluarkan komen terhadap
apa yang berlaku, sebaliknya kita membantu menyelesaikan masalah walaupun
kesannya mungkin sedikit. Keletihan terpancar dimuka setiap peserta.
Coretan Travelog Umrah 6: Bumi Tarbiyah, Pengubat Jiwa Yang Lelah.
Ziarah pada hari ke-3 tersebut diteruskan lagi
dengan melalui Muzdalifah dan Mina. Ketika itu, kawasan tersebut kosong tiada
penghuni, yang kelihatan hanyalah khemah-khemah putih yang mungkin bilangannya
mencapai ratusan atau ribuan. Masing-masing menanti kehadiran jemaah haji yang
akan berkunjung tiba beberapa bulan sahaja lagi.
Kemudian, kami berkunjung ke Ja’ranah iaitu
salah satu tempat Miqat. Kami merancang untuk melakukan umrah untuk kali kedua
pada hari ini. Di Ja’ranah, kami mengambil kesempatan untuk membersihkan diri,
berihram dan berniat ihram. Masjid Ja’ranah dipenuhi dengan jemaah daripada
Indonesia dan juga Malaysia yang ingin mengerjakan umrah. Dalam perjalanan pulang ke hotel, azam disemat
didalam diri untuk melakukan umrah kali ini lebih baik daripada umrah pertama
yang dilakukan ketika pertama kali menjejakkan kaki di tanah suci Mekah.
![]() |
Laluan untuk berSa'i. |
Dengan
keadaan diri kali ini yang lebih bertenaga dan bersedia mental dan fizikal
berbanding umrah pertama yang dilaksanakan ketika badan lemah keletihan.
Ditambah pula umrah kali ini saya dapat melakukannya berseorangan tanpa perlu
mengikut atau menunggu sesiapa, doa
dipanjatkan agar umrah kali ini mendatangkan perasaan yang lebih khusyuk
dan dapat disempurnakan dengan lebih
baik. Kami tiba di hotel dalam pukul 10.30 pagi, saya merancang untuk
melaksanakan umrah selepas Asar selepas memikirkan cuaca yang amat panas jika
dilaksanakan selepas Zohor manakala orang ramai akan lebih sesak diwaktu malam.
Ibadat Umrah merupakan ibadat yang melibatkan fizikal, jadi, perancangan yang
rapi perlu dibuat agar kita tidak tersilap langkah sehingga memberi kesan buruk
kepada tubuh badan, yang mana akan merugikan diri kita sendiri apabila ibadat
seterusnya tidak dapat dilaksanakan.
Alhamdulillah, umrah yang dilaksanakan dalam
keadaan yang lebih bersedia dan bertenaga akan mendatangkan keasyikan yang amat
mendalam. Saat tawaf mengelilingi kaabah, terasa betapa hina dan kerdilnya diri
ini, mengharapkan keampunan dan pertolongan daripada Allah dibawah panas terik
mentari. Amat kagum melihat pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang turut
bersungguh-sungguh melaksanakan tawaf di bawah kepanasan mentari yang memerah
keringat. Semakin teruja apabila melihat pakcik yang bertongkat tetap terus
melangkah tapak demi tapak menyelesaikan rukun umrah ini. Kesilauan sinaran
mentari musim panas yang dipantulkan lantai marmar memeningkan kepala kerana
keadaan diri ini yang sememangnya tidak tahan silau. Walaubagaimanapun, klip
kaca mata hitam yang dibawa membantu mengurangkan ketidakselesaan.
Dari
kejauhan,orang ramai kelihatan berpusu-pusu saling tolak-menolak untuk mengucup
Hajarul Aswad, bahkan ada beberapa wanita turut cuba beradu tenaga mengejar
sunnah nabi tersebut. Kadang kala, saya didatangi oleh pemuda-pemuda yang
bercakap didalam bahasa Indonesia, menawarkan untuk membawa saya mengucup
Hajarul Aswad. Tetapi saya menolaknya apabila
mengingatkan pesanan sahabat yang bercerita mengenai ‘servis’ ini yang
diakhirnya, akan mengeringkan wang kita, bahkan bayaran yang dikenakan nanti
boleh mencecah sehingga 500 Riyal. Langkahan diatas lantai marmar semasa
melakukan tawaf di’hibur’kan dengan bunyi mesin gerudi, ketukan-ketukan besi
pekerja-pekerja pembinaan yang sedang giat melakukan pembesaran Masjidil Haram.
Di dataran tawaf yang memutih ini, pelbagai gelagat manusia dapat disaksikan.
‘Tok Sheikh’ Arab yang menjaga Maqam Ibrahim memarahi jemaah-jemaah yang
mengganggu kelancaran pergerakan tawaf apabila berhenti di maqam tersebut,
bahkan ada yang mengucup-ngucup cermin yang menutupi kesan tapak kaki Nabi
iBrahim tersebut, lalu kedengaranlah suara ‘Tok Sheikh’ tersebut menjerit;
“Syirik!!Harromm!!”. Di sekeliling Kaabah pula, ada sebahagian jemaah melekapkan
muka ke dinding Kaabah, dan ada pula yang mengusap-usap Kaabah menggunakan
tangan. Didalam kesesakan manusia yang sedang memperhambakan diri kepada
Tuhannya, kadang kala dilanggar oleh jemaah lain yang mengejar kumpulannya
dihadapan. Kesabaran benar-benar teruji sepanjang berada di tanah suci ini. Ego
perlu dibuang jauh-jauh.
Selesai melaksanakan tawaf dan solat sunat tawaf,
lantas tong air zam-zam dicari untuk melepaskan tekak yang kekeringan dahaga.
Setelah puas menikmati air zam-zam dan melepaskan lelah, disambung ibadat umrah
dengan bersa’i pula. Laluan sa’i di tingkat 2 dituju memandangkan laluan di tingkat
1 sentiasa sesak dengan jemaah-jemaah lain. Tempat sa’i yang berhawa dingin
mengurangkan keletihan. Tetapi kaki pula yang kesejukan menapak diatas lantai
marmar. Ah!manusia memang tidak pernah bersyukur dan puas. Dari Safa menuju ke
Marwah, kemudian berpatah balik ke Safa, sehinggalah selesai 7 pusingan. Alhamdulillah,
berasa lebih berpuas hati dengan umrah kedua yang dilakukan ini. Setelah
selesai umrah, doa pula dipanjatkan semoga semua ibadat yang dilakukan diterima
olehNya.
Coretan Travelog Umrah 5: Makkah, bumi 'seribu bukit'.
Perasaan syahdu amat dirasa saat solat
berimamkan Imam Abdul Rahman As-Sudais, antara imam yang diminati bacaannya.
Alunan bacaan ayat suci Al-Quran beliau yang menusuk jiwa memang mengasyikkan.
Satu peluang yang sudah ditunggu sekian lama, yang mana sebelum ini sekadar
mendengar bacaannya di corong radio ataupun televisyen.
Suasana Makkah yang sentiasa sibuk. |
Salah satu kelainan yang terdapat di Mekah
berbanding Madinah ialah bilangan peminta sedekah yang amat ramai disini. Lebih
menyedihkan, terdapat beberapa kanak-kanak perempuan yang kudung tangan
diletakkan ditepi-tepi jalan menghala ke Masjidil Haram untuk meminta sedekah.
Apa yang menyedihkan ialah kelihatan kanak-kanak yang tidak berdosa ini seperti
‘dikud ungkan’ atau ‘dicacatkan’ dan terdapat sindiket yang mengerah mereka
untuk meminta sedekah. Tidak kurang juga ‘pak-cik2’ yang tempang atau
‘ditempangkan’ kaki mereka turut meminta sedekah daripada jemaah yang lalu
lalang. Akhi Mus’ab berkongsi nasihat: “Walaupun pemberian yang kita beri tidak
mampu untuk menyelesaikan masalah dasar (‘root’) mereka, sekurang-kurangnya,
kita niatkan untuk bersedekah”.Alangkah sedih dan hibanya memikirkan begini
jadinya nasib umat Islam. Kadang-kadang tidak sanggup rasanya untuk melihat
keadaan mereka yang menyayat hati, dipergunakan oleh golongan yang tidak
bertanggungjawab. Apa yang mampu dilakukan hanya berdoa kepada Allah agar terus
memelihara dan meninggikan kembali martabat umat Islam.
Jabal Thur yang tinggi sayup mata memandang. |
Hari ke-3 di Mekah, diteruskan dengan ziarah
ke Jabal Thur, bukit yang terletaknya Gua Thur. Gua yang menyaksikan perjuangan
Rasulullah berhijrah ke Madinah. Sayup kelihatan puncak Jabal Thur yang
menjulang tinggi daripada bawah. Menghayati Sirah perjuangan Rasulullah dan
sahabat baginda, Abu Bakar yang menemani baginda berhijrah ke Madinah,
mempertaruhkan nyawa daripada dibunuh oleh musyrikin Mekah. Ziarah kemudiannya
diteruskan ke Jabal Rahmah. Ustaz Ahmad, mutawif dan jugak ‘juru pandu
pelancong’ kami menceritakan bahawa di Jabal Rahmah lah tempat dimana Adam dan
Hawa bertemu setelah dipisahkan saat dikeluarkan dari syurga. Lantas saya
bertanya jika terdapat kisah tersebut didalam Al-Quran ataupun mana-mana dalil
yang mengisahkan peristiwa tersebut. Jawapan ustaz, kisah tersebut tiada
didalam Al-Quran tetapi ada diceritakan didalam kitam Raheeq Makhtum dan Zaadul
Ma’ad (maaf jika salah informasi). Sehingga kini (26/7), saya masih belum
memeriksa kisah ini didalam kedua-dua kitab tersebut. Ustaz turut menceritakan
bahawa digalakkan untuk mendoakan jodoh kita diatas bukit ini (Wallahua’lam,
saya tidak tahu dalilnya, terlupa untuk bertanya ustaz).
Di puncak Jabal Rahmah, menahan panas mentari. |
Seperti hari-hari sebelumnya, panas terik
terus cemerlang memancar ke bumi Mekah. Walaubagaimanapun, itu tidak mematahkan
semangat ramai orang yang tetap berpusu-pusu memanjat Jabal Rahmah tersebut.
Sepanjang memanjat Jabal Rahmah tersebut, kelihatan beberapa peminta sedekah
dikiri kanan bukit yang cacat atau ‘dicacatkan’ beberapa bahagian badan mereka.
Perasaan hiba memikirkan nasib umat Islam kembali lagi dan semakin memuncak
apabila sampai puncak bukit, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berkulit
hitam (tiada unsur rasis disini) yang kudung kedua-dua belah tangannya
terbaring meminta sedekah daripada jemaah yang sedang bersesak-sesak diatas
bukit tersebut. Lantas saya terfikir, bagaimana kanak-kanak tersebut, dengan
kekurangan yang beliau mampu memanjat bukit tersebut.
Sayu melihat keadaan ummat yang berpusu membuat perkara sia-sia. |
Diatas bukit ini juga kami menyaksikan orang
ramai berebut-rebut untuk menulis nama pada satu monument konkrit yang dibina
ditengah-tengah puncak bukit. Suasana tersebut sangat pelik, padanlah, Ustaz
Ahmad melarang kami untuk turut melakukannya, kerana ia perbuatan khurafat jika
meyakini dengan menulis nama diatas batu tersebut, kasih sayang akan terbina. ‘Criminal
aqidah’ kata ustaz. Kami berlalu turun daripada bukit meninggalkan orang ramai
yang masih bersesak berebut untuk mencoret nama pada monumen tersebut.
Coretan Travelog Umrah 4: Angin Makkah Yang Diimpi
Setelah 4 hari berada di Madinah, tiba masanya
untuk bergerak ke Mekah bagi mengerjakan umrah. Perasaan ketika ini bercampur
baur, sedih, gembira, berdebar-debar untuk meninggalkan kota Madinah menuju ke
tanah suci Mekah. Perjalanan ini akan mengambil masa selama hampir 8 jam dan
akan berhenti sebentar di Bir Ali untuk memakai dan berniat ihram. Hampir jam
3.00 petang, kesemua peserta jemaah bergerak menaiki bas meninggalkan Madinah.
Cuaca diluar sememangnya amat panas memandangkan Arab Saudi sedang berada dalam
musim panas. 5 orang peserta brothers berada ditempat duduk hadapan bas,
manakala baki 20 peserta sisters berada ditempat duduk belakang bas. Hati
kembali ditaut rasa pilu meninggalkan kota Madinah saat melalui kawasan tepi
Perkuburan Baqi’, dari jauh kelihatan kubah hijau Masjid Nabawi, yang semakin
lama semakin hilang dari pandangan.
Saat berada didalam bas, ‘air-cond’ yang
dipasang terasa kurang sejuk, tetapi memandangkan peserta jemaah lain hanya
mendiamkan diri, saya turut membisu. Dalam perjalanan, ada sebahagian daripada
kami yang menyambung bacaan Al-Quran, ada yang lelap merehatkan diri, ada yang
bersembang merapatkan ukhuwah, dan ada juga yang menikmati pemandangan pinggir
kota Madinah dari tingkap bas.
Sesungguhnya, Allah tidak akan membiarkan
hambanya melalui hidup ini tanpa ujian, kerana ujian itu akan mendekatkan hamba
padaNya. Ujian daripadaNya tiba lagi. Kali ini benar-benar menduga iman yang
senipis kulit bawang ini. Baru sahaja bas bergerak dalam 10 minit, tiba-tiba
enjin bas mati ditengah-tengah jalan raya. Pendingin udara bas terus terpadam.
Dengan bas yang masih bergerak perlahan walaupun enjin sudah mati, pemandu
membawa bas tersebut ketepi jalan. Dicuba berkali-kali untuk menghidupkan enjin
bas, malangnya, masih gagal. Didalam bas yang berada di tepi jalan pinggir
Madinah, bersama panas terik matahari, peluh semakin deras mengalir. Perasaan
ketika itu hanya Allah yang tahu.
Kesemua peserta jemaah senyap membisu,
beristighfar. Perasaan sebak memikirkan dosa-dosa yang mungkin menjadi asbab
kepada ujian yang sungguh mencabar ini. Lantas dipohon, “Jika ujian ini
disebabkan oleh dosa-dosa diri yang menggunung tinggi , ampunkan aku ya Allah,
berilah peluang kepada hamba-hamba ini untuk datang menemuimu, bersujud
menghadapmu dihadapan Kaabah”. Kedengaran seorang sister dari belakang bas
menyahut: “Perbetulkan niat kita…”. Lantas terfikir, apakah niatku menuju ke
Mekah? Adakah semata-mata kerana Dia? Disebabkan bas yang masih tidak hidup
walaupun dicuba beberapa kali, lantas, ketua rombongan, akhi Mus’ab menyuruh
semua peserta jemaah keluar daripada bas dan mencari tempat berteduh, walaupun
diluar juga tetap panas, tetapi kurang berbanding terus berada didalam bas.
Sedang pemandu bas sedang berusaha membaiki
kerosakan, peserta brothers duduk berteduh ditepi jalan, melayan perasaan
masing-masing. Manakala sisters pula duduk berkumpul, mungkin membuat muhasabah
secara berjemaah. Tidak sampai 10 minit, berita gembira datang apabila bas
berjaya dihidupkan kembali. Lalu, perjalanan diteruskan sehinggalah sampai ke
Bir Ali. Di Bir Ali, kami menyempurnakan salah satu rukun umrah, iaitu berihram
dan berniat ihram. Memandangkan perjalanan ke Mekah masih berbaki lebih 7
jam, bas ditukar dengan bas yang lebih
baik sebelum kami bergerak meninggalkan Bir Ali. Dengan berpakaian ihram,
beg-beg dipunggah kedalam bas yang baru. Saat berada didalam bas, terasa
kebesaran Allah, ujian yang diberikan sebentar tadi menyebabkan kami mendapat
bas yang lebih baik untuk meneruskan perjalanan menuju Mekah, yang mana
pendingin udara bas tersebut lebih nyaman. Keika perjalanan, akibat strategi
yang salah, saya langsung tidak dapat tidur sepanjang 8 jam lebih perjalanan
kerana telah meminum setin energy drink, Bison yang dibeli dalam
perjalanan.
Hampir pukul 12 tengah malam, kami memasuki
kota Mekah, dari kejauhan dapat dilihat Masjidil Haram yang terang benderang.
Semakin menghampiri MasjidilHaram, semakin kelihatan kren-kren pembinaan yang
tinggi mengelilingi masjid, kerana projek pembesaran sedang giat dilaksanakan.
Runtuhan-runtuhan bangunan dikiri kanan jalan berdekatan Masjidil Haram turut
menyambut ketibaan kami disamping debu yang meliputi Mekah, hasil projek
runtuhan-runtuhan tersebut. Kelihatan juga papan tanda model hotel-hotel mewah
yang akan dibangunkan dikawasan runtuhan bangunan tersebut. Hanya keluhan mampu
dilepaskan. Kesesakan jalan raya di Mekah berdekatan Masjidil Haram yang amat
berbeza berbanding Madinah turut mengalu-alukan kehadiran kami. Sebelum terus
mengerjakan umrah, kami menuju ke hotel penginapan terlebih dahulu untuk
meletakkan barang-barang dan menyegarkan tubuh badan yang sudah keletihan
selepas 8 jam lebih perjalanan.
Untuk umrah kali pertama ini, kesemua peserta
melaksanakannya secara bersama-sama. Keluar dari hotel penginapan menuju ke
Masjidil Haram, kalimat ‘Labbaikallahumma labbaik, Laibbaikala syarikala
kalabbaik,..’ tidak putus-putus dilaungkan.
Hotel kami menginap agak jauh dari Masjidil Haram, hampir 20minit
berjalan kaki, ditambah kesesakan manusia bercampur kenderaan bersimpang siur. Perasaan
ketika itu bercampur baur, teruja melihat manusia yang sungguh ramai walaupun
jam sudah menunjukkan 12 lebih, berdebar-debar untuk menatap Kaabah buat
pertama kali, dicampur badan yang sudahpun keletihan menempuh perjalanan yang
amat panjang tanpa tidur dan rehat.
Alhamdulillah, lebih kurang pukul 3 pagi,
kami semua dapat menyempurnakan kesemua rukun umrah yang diakhiri dengan
tahallul. Pertama kali didalam hidup setelah 21 tahun, kepala ini dicukur habis
sehingga licin. Selepas Subuh, kesemua peserta jemaah terus melelapkan mata
dibilik hotel, mengumpul kembali tenaga yang hilang.
Subscribe to:
Posts (Atom)