Sunday, 28 July 2013

Coretan Travelog Umrah 2: Membelah Awan,Angin Madinah.

Hari penerbangan, 28/6/2013. Ketika ini, waktu Subuh di UK ialah seawal 3 pagi, dan menjadi kebiasaan untuk pelajar Malaysia disana untuk berjaga kemudian tidur selepas menunaikan solat Subuh. Ujian daripada Allah terus menjengah. Bas yang akan membawa saya dari Southampton ke Heathrow Airport,London akan bertolak pada pukul 6 pagi. Tetapi, saat terjaga dari tidur, jam sudah menunjukkan jam 5.46 pagi! 

Dalam keadaan tergesa-gesa dan cemas, lantas dicapai kesemua bagasi besar dan beg keluar daripada rumah, tanpa sempat bersiap dengan sempurna. Sambil berlari selaju yang mungkin menyeret beg-beg besar ke ‘bus stop’ National Express yang akan membawa saya ke Heathrow Airport, pelbagai perkara bermain di minda memikirkan ujian terbaru yang Allah turunkan ini, adakah kerana dosa diri ini yang terlalu menimbun tinggi. Perasaan ketika itu sungguh cemas. Alhamdulillah, berjaya sampai ke bus stop tersebut hanya beberapa minit sebelum 6 pagi dan disambut dengan senyuman Abang Idham, seorang post-grad (pHd) di Southampton yang sudah berjanji malam sebelumnya untuk datang menghantar saya menaiki bas. Saat tiba di Heathrow Airport, barulah saya dapat menarik nafas kelegaan, lalu masa menunggu ‘flight’ yang ada digunakan untuk membersihkan diri seadanya dan menunaikan solat sunat musafir yang sepatutnya sudah pun dilaksanakan sebelum keluar daripada rumah pagi tersebut.

Sahabat sepermusafiran, Amzar (kiri) dan seorang warga Saudi yang duduk di 'seat' sebelah.


Alhamdulillah, kesemua 25 peserta (5 brothers, 20 sisters) tidak menghadapi sebarang masalah sehinggalah sampai ke Jeddah Airport, Arab Saudi lebih kurang 9 malam. Saat menjengah keluar daripada pintu Jeddah Airport, angin panas yang mungkin mencecah sehingga 40 darjah celcius menerpa wajah, musim panas yang sedang dialami Arab Saudi sememangnya menguji diri ini. Perjalanan diteruskan dengan menaiki bas menuju Madinah, perasaan tidak sabar untuk melihat Masjid Nabawi semakin melonjak-lonjak. Perjalanan dari Jeddah ke Madinah sejauh 400km yang mengambil masa hampir 7 jam digunakan untuk berehat.

Masjid Nabawi yang penuh barakah.


 Saat tiba di kota Madinah, sayup-sayup kedengaran azan Subuh berkumandangkan daripada Masjid Nabawi. Satu perasaan yang hebat menerpa diri, yang tidak mampu untuk digambarkan dengan kata-kata. Dari dalam bas, mata ini menyaksikan manusia berpusu-pusu menuju Masjid Nabawi untuk menunaikan kewajipan fardhu Subuh, walaubagaimanapun, saat itu, Masjid Nabawi masih belum dapat dilihat dengan jelas dari dalam bas. Perasaan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke masjid nabi membuak-buak, lantas beg-beg diangkut daripada bas kedalam bilik hotel sepantas yang mungkin. Tika pertama kali mata ini menyaksikan Masjid Nabawi dihadapan mata,disebalik kebingitan manusia-manusia lain yang ramai disekeliling,  perasaan hening dan sebak menerpa kembali. Tiada ucapan lain selain syukur dan istighfar kepada Allah kerana membenarkan kaki yang hina ini untuk memijak masjid yang suci dan mengumpul 1001 sejarah Rasulullah dan Islam. Alhamdulillah wa Astaghfirullah. 

No comments:

Post a Comment