Saturday, 27 July 2013

Coretan Travelog Umrah 1 : Perancangan dan Ujian

Hasrat menjejakkan kaki ke tanah suci seawal usia yang mungkin sudah lama dipendam sejak masuk ke Kolej MARA Banting. Disebabkan diri ini berasal dari keluarga yang sederhana, mana mungkin saya dapat pergi ke Mekah dan Madinah menggunakan duit ‘sponsor’ daripada ibu bapa. Pilihan yang ada, perlu berusaha sendiri mengumpul wang untuk ke sana. Peluang dapat menyambung pelajaran ke luar negara (United Kingdom) merupakan rezeki yang Allah limpahkan kepada diri ini. Dengan elaun bulanan yang diterima agak besar, hasrat untuk ke tanah suci semakin cerah, lantas, salah satu niat yang disemat saat menjejakkan kaki ke United Kingdom ialah untuk mengumpul duit secepat mungkin dan memenuhi cita-cita ke tanah suci Mekah dan Madinah.


Tetapi, hasrat ke tanah suci berperang pula dengan impian untuk berjalan-jalan menjelajah negara sekitar UK seperti Turki, Spain, Netherlands,Germany dan lain-lain, kerana kos ke tanah suci yang tinggi. Saya hanya ada dua pilihan, sama ada mahu menggunakan kesemua duit yang dikumpul untuk mengerjakan umrah di tanah suci ataupun membelanjakan duit tersebut untuk menjelajah negara-negara Eropah yang lain, yang sudah semestinya, 4 atau 5 negara boleh dikunjungi  hasil duit tersebut. Lantas, telefon diambil, dan nombor telefon emak didail untuk meminta pandangan beliau. Kata-kata emak di hujung telefon meyakinkan diri ini: “Selesaikanlah dahulu umrah, berjalan ke negara orang itu lain kali pun boleh, bimbang kita tidak dipanjangkan usia tanpa sempat ke tanah suci”. Lantas borang pendaftaran Umrah Summer dan Ramadhan terus diisi tanpa ragu-ragu.

Sememangnya, perjalanan untuk menemui Dia bukanlah suatu yang mudah, ujian akan datang silih berganti. Apabila melihat wang yang ada selepas segala bayaran ke tanah suci telah diselesaikan, saya dan sahabat merancang untuk berjaulah ke kota metropolitan Paris beberapa minggu sebelum terbang ke tanah suci. Tempahan tiket keretapi Eurostar dan hotel telah dibayar. Tetapi Allah ialah sebaik-baik perancang, passport yang dihantar untuk memohon visa umrah dari pihak Saudi tidak dapat dipulangkan dalam masa yang dijanjikan, dan ia mengambil masa yang amat lama berbanding biasa. Hal ini kerana pihak Saudi dalam proses untuk mengurangkan jumlah jemaah umrah dan haji disebabkan pembinaan dan pembesaran sedang giat dijalankan di sekitar Masjidil Haram. Disebabkan kelewatan pemulangan passport ini, perancangan untuk ke Paris terpaksa dilupakan dan lebih perit, wang beberapa ratus Pound Sterling yang telah dibayar untuk tempahan tiket keretapi dan hotel di Paris hangus begitu sahaja. Lalu, dibisikkan didalam hati, “Ini adalah kifarah dosa yang Allah turunkan kepada diri ini sebelum Dia benarkan diri yang hina ini menghadap Dia di Baitullah Al-Haram”.

Ujian daripadaNya tidak berhenti sekadar disitu. Saat passport dan visa diterima semula beberapa hari sebelum berangkat ketanah suci, satu berita diterima iaitu hanya 25 orang diluluskan visa umrah daripada bilangan asal peserta, iaitu lebih 40 orang. Alhamdulillah, saya termasuk didalam senarai 25 orang yang mendapat visa, lalu muhasabah bertalu-talu menerpa diri ini. Pelbagai persoalan bermain-main di minda. Dengan diri yang penuh dosa ini, mengapa Allah memilih aku untuk pergi dahulu, apakah pula perancangan Dia? Akhirnya, kesimpulan dibuat, “Allah membenarkan aku pergi dahulu ke tanah suci kerana akulah yang paling banyak kekhilafan dan dosa berbanding yang lain”. 

No comments:

Post a Comment