Friday, 22 March 2013

Kembara Ilmu United Kingdom


Bismillahirrahmanirrohim. Perkongsian ini bukanlah untuk mengagung-agungkan tanah penjajah United Kingdom. Tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman sepanjang berada di bumi ini, terutama kepada pelajar-pelajar yang sedang berkira-kira ingin menyambung pelajaran ke luar negara, tetapi masih samar-samar untuk membuat pilihan negara. InsyaAllah saya akan berkongsi tentang beberapa aspek tentang kehidupan di United Kingdom yang sering pelajar tertanya-tanya.



SISTEM PEMBELAJARAN

Winter 2012
UK memang terkenal sebagai satu negara yang terkehadapan dalam bidang pendidikan, dan beberapa universiti masyhur seperti University of Cambridge, University of Oxford, Imperial College London, University College London, dan lain-lain ada di sini. Pada pendapat saya, tidak terlalu besar jurang perbezaan silibus pembelajaran yang diguna pakai di Malaysia dan UK, tetapi, dari aspek tenaga pengajar dan cara pembelajaran, mungkin ada sedikit perbezaan. Saya tidak berniat untuk merendahkan tenaga pengajar di Malaysia, tetapi memang tidak dapat disangkal bahawa kebanyakan tenaga pengajar di university-universiti di UK terutama ‘top’universiti terdiri daripada orang-orang yang hebat dan diiktiraf dunia. Terdapat ramai tenaga pengajar di university-universiti seluruh UK yang pernah menerima nobel prize (boleh rujuk Wikipedia). Saya tidak akan sentuh banyak perkara tentang sistem pembelajaran, tetapi insyaAllah, anda akan dapat yang terbaik jika belajar disini.

MASYARAKAT



Secara keseluruhan, masyarakat di UK terutama British mempunyai budaya hidup yang baik. Benar apa yang dikatakan oleh Sheikh Muhammad Abduh: “Di Eropah, aku melihat Islam tanpa Muslim, bila pulang ke Mesir, aku melihat ramai Muslim tanpa Islam. Jika anda ingin melihat satu tamadun masyarakat yang ada nilai-nilai Islam, datanglah ke sini. Mereka akan bantu kita dan melayan kita dengan bersungguh-sungguh walaupun kita datang daripada negara yang ketinggalan di belakang mereka. Saya membandingkan cara kita, sebahagian besar rakyat Malaysia melayan mereka yang datang daripada negara sedikit ketinggalan daripada kita. Saya tidak nafikan terdapat segelintir daripada masyarakat UK yang tidak ada budaya hidup yang baik ini dalam diri mereka. Dan saya juga tidak nafikan masyarakat di barat sememangnya mempunyai budaya hidup yang tidak sesuai dengan cara hidup Muslim seperti pergaulan bebas. Tetapi masih banyak budaya hidup mereka yang baik dan ada nilai Islam di dalamnya yang kita dapat ambil. Saya tidak dapat berkongsi kesemuanya disini, jika anda ingin rasai pengalaman hidup dalam masyarakat ini, datanglah ke UK.  

 BIAH ISLAMIAH

Biah Islamiah ataupun suasana Islamik adalah salah satu aspek yang selalu diambil berat oleh pelajar yang ingin menyambung belajar ke luar negara. Di UK, walaupun sebuah negara barat yang bebas dan terbuka, tetapi biah Islamiah dalam kalangan pelajar Malaysia sangat subur. Pelbagai aktiviti-aktiviti berunsur Islam yang diadakan dalam kalangan Malaysian hampir setiap minggu, yang mana sebahagian daripada kita tidak pernah merasainya walaupun berada di Malaysia. Ketika cuti musim sejuk dan musim bunga, ada beberapa ‘gathering’ diadakan untuk membina hubungan antara  pelajar Muslim Malaysia dan juga membina sahsiah diri pelajar. Di negara sini, anda boleh menjadi lebih baik dan boleh juga menjadi lebih teruk, semuanya pilihan anda sendiri. Terdapat pelajar yang tidak mengenal apa itu usrah sebelum ini, akan kenal dan jatuh cinta dengannya di UK. 

Siti Fatimah Mukhtar with her usrah group.
Mereka yang aktif dalam dakwah sebelum ini juga akan menjadi lebih aktif disini. Saya ingin membawa contoh 2 orang bekas pelajar terbaik Malaysia SPM 2006 dan 2008, Siti Fatimah Mukhtar dan Nik Nur Madihah. Kedua-dua mereka ini sedang belajar di University of Nottingham dalam bidang Perubatan dan Fizik. Sudah beberapa kali saya berjumpa mereka didalam beberapa program bercorak Islam disini dan mereka sememangnya hebat, sangat aktif dalam dakwah disini. Jadi, anda yang datang ke UK akan berpeluang merasai biah Islamiah. Tetapi ianya tetap terletak pada pilihan anda untuk mengikutinya atau tidak. Dari segi aspek keselamatan pula, cukup saya katakan bahawa bagi pelajar perempuan yang ingin keluar rumah untuk ke kedai atau sebagainya, tidak memerlukan Musyrif mahupun Musyrifah (Minta maaf ya pelajar-pelajar di Middle East J). Tetapi langkah-langkah keselamatan tetap perlu diambil berat oleh pelajar.

TOKOH HEBAT DAN TERBUKA

Disamping itu, di United Kingdom juga, anda berpeluang untuk mengikuti dengan aktif ‘talk’ dan seminar yang dihadiri tokoh-tokoh Islam hebat seperti Tariq Ramadhan, Sister Myriam Francois Cerrah, Abdal Hakim Murad, dan lain-lain. ‘Talk’ daripada tokoh-tokoh hebat seperti mereka ini kerap diadakan, hanya terletak kepada kita untuk hadir atau tidak. Disamping itu, masyarakat disini amat terbuka, kita juga boleh hadir ke talk-talk agama lain tanpa rasa takut, dan perbincangan tentang agama disini turut terbuka dan aktif. Pada pemerhatian saya, perbincangan tentang agama walaupun di kedai kopi sekalipun bukanlah perkara yang sensitif disini. Bahkan, daripada pengalaman saya, pernah diadakan satu talk tentang Palestin di universiti saya, Southampton,yang mana sebahagian besar hadirin ialah terdiri daripada non-muslim.

PENGAMALAN CARA HIDUP ISLAM

Solat di tepi sungai ketika Rehlah Insaniah Seluruh England 2012
UK merupakan satu negara yang amat pesat bertambah dari segi bilangan Muslim. Disini, kita bebas mengamalkan cara hidup Islam. Dari segi makanan halal, ia bukan masalah besar di sebahagian besar tempat di UK, mudah didapati dan murah, bahkan kadang-kadang,sesetengah tempat di UK ini ibarat syurga makanan bagi kita. Jadi perlu berhati-hati agar kita tidak membawa ‘bebanan’ lebih apabila pulang ke Malaysia nanti. Bilangan masjid juga semakin bertambah di UK, tetapi tidaklah semudah di Malaysia untuk kita dapat bersolat di masjid. Di luar negara/UK lah kita akan dapat merasa nikmat bersolat dimerata tempat, seperti di fitting room sambil beralaskan baju Topman mahupun Zara. Bersolat di merata-rata seperti di tepi jalan, fire exit, padang rumput, atas salji, dan lain-lain merupakan satu perkara biasa disini, yang mana akan dipandang aneh jika diamalkan di Malaysia. Disini lah kita akan merasa betapa mudahnya mengamalkan cara hidup Islam.

KEWANGAN DAN TEMPAT

Jalan-jalan itu wajib.
Sebahagian besar pelajar-pelajar di UK ditaja oleh MARA,JPA, FELDA, PETRONAS, SHELL, SIME DARBY, YAYASAN TERENGGANU, TNB, dan juga PaMa. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kewangan pelajar disini. Cukup sekadar saya katakan bahawa biasiswa yang diterima sangat lebih daripada cukup. Duit yang anda peroleh itu boleh membawa anda ke merata-rata tempat, dan boleh juga anda gunakan untuk pulangan balik kepada masyarakat. Jadi, tidak pelik jika kita melihat ada pelajar-pelajar di luar negara khususnya di UK yang berkahwin ketika belajar, tetapi masih dapat hidup selesa tanpa masalah kewangan. Mengenai tempat-tempat menarik di UK pula, saya menasihatkan anda untuk bertanya Encik Google mahupun agen pelancongan.

Setakat ini sahaja. Saya berharap perkongsian saya yang ringkas (agak panjang lebar) ini dapat memberi sedikit gambaran kepada anda, pelajar yang masih tercari-cari destinasi pembelajaran seterusnya.  Allahua’lam.


6 comments:

  1. Hi..Anybody know who want to sell student AP... I would like to buy....contact me +601115672100....fitri1985@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Thanks for sharing! Sangat2 bermanfaat!

    ReplyDelete
  3. great info... insyaAllah UK ..

    ReplyDelete
  4. Thanks. IN SHA ALLAH .....UK wait for me

    ReplyDelete
  5. nk apply scholar apa nk amik medic kat UK?

    ReplyDelete
    Replies
    1. pelajar medic di UK kebanyakannya ialah pelajar JPA & MARA.

      Delete