Kesempatan berada di Madinah cuba untuk digunakan
sebaiknya. Terbayang bagaimana saat Rasulullah bersama kaum Muhajirin sampai di
kota ini dan disambut dengan meriah oleh kaum Ansar lebih 1400 tahun yang lalu.
Hadis Thauban r.a, bekas
hamba Rasulullah s.a.w: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang
mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah
kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri
pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit
Uhud. (Hadis 1575, Sahih Muslim)
Saat ini, terfikir
bagaimana agaknya kematian menjemput diri ini nanti, adakah kematian itu nanti
dalam redha Allah atau dalam kemurkaan Allah. Terbayang pula bagaimana agaknya
solat jenazah untu diri ini nanti, adakah disolatkan dengan sempurna oleh ramai
jemaah seperti di Masjid Nabawi ini? Peringatan kepada diri ini dan juga
sahabat-sahabat yang lain agar sentiasa berdoa kematian kita dalam keadaan
husnul khatimah.
Raudhah, sentiasa sesak dan penuh. |
Raudhah yang terletak didalam Masjid Nabawi merupakan salah satu tempat mustajab untuk berdoa. Sudah tentu tempat ini sentiasa penuh dan menjadi tumpuan ramai jemaah. Suasana jemaah yang berebut2 untuk masuk ke kawasan Raudhah sememangnya mencabar kesabaran kita. Disaat inilah kita yang berada dalam situasi ini dapat mengasuh kesabaran diri dan meleturkan sifat-sifat mazmumah kita. Memandangkan kawasan Raudhah sentiasa penuh dan sesak, saya dan sahabat merancang untuk datang ke Masjid Nabawi dan masuk ke Raudhah pada pukul 1.30 pagi. Disangkakan jemaah akan kurang pada waktu itu, rupanya sangkaan kami amat meleset. Saat tiba berdekatan Raudhah lebih kurang jam 1.30 pagi, jemaah sudah berpusu-pusu menunggu di tepi pagar sementara yang diletakkan ketika para pekerja sedang membersihkan kawasan Raudhah tersebut. Apabila pagar tersebut dibuka sahaja, berkejaranlah para jemaah berebut untuk masuk ke kawasan Raudhah sehingga melanggar jemaah-jemaah lain yang sedang duduk beribadat, bahkan ada jemaah yang sedang duduk tercabut serban yang dipakai olehnya akibat dilanggar oleh jemaah yang berkejaran masuk kedalam Raudhah. Mujurlah pesanan ustaz sentiasa kami ingat agar tidak mencipta dosa dalam usaha untuk membuat ibadat, kerana perjalanan umrah ini melibatkan hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia. Kami hanya mampu tercengang dan menggeleng kepala melihat situasi yang berlaku didepan mata itu.
Keberadaan di Madinah juga
dipenuhkan dengan menziarahi tempat-tempat bersejarah dalam Islam. Bukit Uhud
antara tempat bersejarah yang dituju dan dilawati. Sememangnya, perasaan sebak
akan menerpa saat tiba di tanah yang menyaksikan sejarah dimana pasukan tentera
Islam menentang kaum musyrikin Mekah didalam Perang Uhud. Saat berdiri
dikawasan medan pertempuran perang Uhud, sirah Rasulullah menerpa di minda
dimana baginda tercedera didalam perang ini manakala ramai sahabat termasuk
Saidina Hamzah menemui syahid dalam mempertahankan Islam. Kesempatan berada
disana digunakan untuk memanjat dan berada diatas bukit pemanah ketika
berlakunya perang Uhud tersebut. Panas terik yang dipancarkan matahari di
Madinah tidak melunturkan semangat untuk merasa sendiri pengalaman berada diatas
bukit pemanah tersebut. Disinilah kita dapat bermuhasabah dengan lebih mendalam
bagaimana Rasulullah memperjuangkan agama yang suci ini sehingga berdarah
tercedera manakala para sahabat pula menemui syahid, sedangkan kita masih mampu
bersenang lenang dengan segala kesenangan dan mudah mengeluh dengan ujian kecil
yang menimpa. Keberadaan di medan ghazwah Uhud ini mengingatkan kepada
kalamullah ayat 154 surah Al-Baqarah:
Dan janganlah kamu mengatakan terhadap
orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati; bahkan
(sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyadarinya.
Beberapa tempat bersejarah
turut dikunjungi seperti Masjid Quba’ dan kami juga melalui tempat berlakunya
Ghazwah Khandak.
Menziarahi maqam Rasulullah
yang terletak didalam Masjid Nabawi juga merupakan salah satu nikmat ketika
berada di Madinah. Setiap hari melalui depan maqam Rasulullah membuatkan kita
merasa seperti dekat dengan baginda. Tetapi, cepat-cepat perasaan tersebut cuba
di’neutral’kan dengan mengatakan kepada diri: “Kita akan betul-betul dekat
dengan Rasulullah jika kita sentiasa mengamalkan sunnah dan suruhan baginda,
bukannya sentiasa berada dekat dengan maqam baginda tanpa berbuat
apa-apa”. Dan semestinya, sunnah baginda
yang terbesar ialah berdakwah menyebarkan agama Islam yang benar. Pada hari
terakhir di Madinah, perasaan sebak menusuk-nusuk dada, alangkah beratnya rasa
untuk meninggal Madinah yang penuh barakah.
Perasaan hiba dan sedih yang
memuncak dirasai saat mahu meninggalkan Masjid Rasulullah. Saat melepasi maqam
Rasulullah buat kali terakhir sebelum berangkat ke Mekah, perasaan hiba tidak
dapat dibendung lagi, sama seperti jemaah-jemaah lain yang berada disekeliling,
doa dipanjatkan agar dapat bertemu baginda di kampung halaman syurga kelak. Terasa
amat berat hati untuk meninggalkan Masjid Nabawi, yang bermaksud meninggalkan
maqam Rasulullah. Bagaimanapun, cepat-cepat istighfar diucapkan agar niat tidak
terpesong, kerana tempat yang dituju selepas ini merupakan Masjidil Haram yang
terletaknya Baitullah al-Haram, yang mana cinta dan kasih kepada Allah perlu
berada lebih tinggi diatas cinta dan kasih kepada Rasulullah.
![]() |
Maqam Rasulullah (hujung kiri) yang sentiasa dipenuhi jemaah. |
Kepulangan ke
bilik hotel sebelum berangkat ke Mekah dihiasi alunan lagu Law Kana Bainana,
yang sudah semestinya menambahkan lagi perasaan sebak. Sekali lagi dibisikkan
kedalam hati, “Jika benar cintakan Rasulullah, laksanakan sunnah baginda,
penuhi suruhan baginda, ikut jejak langkah baginda, itu Rasulullah lebih cintai
daripada sekadar melayan perasaan hiba dan sebak sebegini”.