Tuesday, 19 March 2013

Tarbiyah Yang Tidak Basah atau Hati Yang Kering Rapuh?

TARBIYAH BASAH?


Frasa 'tarbiyah basah' saya kira sudah menjadi satu kelaziman bagi mereka yang berada dalam sistem tarbiyah. Tetapi, telah menjadi satu fenomena yang merbahaya kepada Muslim apabila ke'istiqomah'an kita dalam membuat amal ibadat dan bekerja di medan amal disandarkan kepada kualiti dan kuantiti 'tarbiyah basah' yg diterima. Sehinggakan keberadaan sesetengah daripada kita didalam satu-satu jemaah, turut disandarkan kepada sejauh mana satu-satu jemaah itu 'basah' tarbiyahnya. Seringkali ayat-ayat seperti ini diungkapkan:

1. "Mutabaah amal ana makin berterabur lah, sebab sudah lama tak dapat tarbiyah basah."
2. "Maaf kalau ana sudah jarang buat usrah, sebab ana sendiri sudah lama tak dapat tarbiyah basah"
3. "Ana tak nak join Jemaah anta, sebab Jemaah anta tarbiyahnya kering kontang.

Mungkin ayat-ayat diatas ada antara kita yang pernah mendengarnya. Saya sendiri masih sangsi apa sebenarnya definisi 'tarbiyah basah' bagi mereka yang selalu mengungkapkannya. Tidak mengapa, kita ketepikan soal definisi tersebut.

Tetapi apa yang ingin ditimbulkan di sini, apakah fenomena futur, malas beramal, dan berat untuk bekerja di medan amal itu disebabkan oleh tarbiyah yang tidak basah atau hati kita sendiri yang kering? Perkara ini amat penting untuk kita semua fikirkan.

FENOMENA BERBAHAYA



Fenomena ini amat berbahaya. Tidak dinafikan, kehadiran sahabat di sekeliling memberi kata-kata yang mengasyikkan hati untuk bergerak bekerja di medan amal diperlukan bagi menguatkan semangat kita. Tetapi, dalam melalui hidup sebagai Muslim, lebih-lebih lagi sebagai pekerja dakwah, tidak selamanya sahabat akan berada disisi kita. Jadi, dalam situasi ini, hati (iman) yang dimiliki oleh kita yang akan menentukan hala tuju kita. Jika selama ini kita hanya bergantung kepada 'tarbiyah basah' yang disuap untuk bergerak, maka akan hanyutlah kita dibawa arus futur, tetapi, jika kita sudah mempersiapkan hati dengan  kekebalan, insyaAllah, kita kan terus istiqomah dan thabat. Disaat inilah pentingnya kekuatan Tarbiyah Dzatiyah dimiliki oleh para pekerja dakwah.

Dalam melalui jalan dakwah yang panjang ini juga, tidak selamanya kita akan menerima 'tarbiyah basah', akan tiba masanya kita disajikan dengan 'tarbiyah kering'. Perkara-perkara seperti kerja-kerja teknikal yang menimbun, meeting/musyawarah yang berpanjangan sehingga 2-3 jam, berseorangan dalam gerak kerja, cacian mahupun kutukan sinis dari sahabat sendiri akan menjadi resam dalam mengharungi jalan ini. Disini, hati yang basah amat diperlukan disaat tarbiyah kering yang disajikan kepada kita, untuk memastikan diri ini terus bergerak di medan amal.

TELUSURI SIRAH PERJUANGAN 



Jika kita menulusuri sirah Nabi dan para sahabat baginda, kita akan melihat berapa ramai sahabat2 yang dihantar ke kawasan-kawasan di luar Mekah dan Madinah untuk berdakwah kepada masyarakat, bahkan ada sahabat yang dihantar berdakwah berseorangan. Jika para sahabat ini hanya mengharapkan 'tarbiyah basah' daripada Rasulullah, mana mungkin mereka mampu bergerak bersungguh-sungguh menyebarkan risalah agung ini berseorangan dicelah-celah masyarakat yang penuh jahiliyyah. Pokok pangkalnya, hati yang diserap iman yang teguh yang menjadi asbab kekuatan.

Apakah solusi bagi menguatkan hati kita yang kering lagi rapuh ini? Kita boleh dapatkan jawapannya di dalam hadis Rasulullah ini:

Dari Abdullah Ibnu Umar r.a meriwayatkan, Rasulullah bersabda:
 “Seseungguhnya hati ini dapat berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air.” Kemudian, beliau ditanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?” Rasulullah saw bersabda, “ Memperbanyak mengingati maut dan membaca Al-Quran.”(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Jadi, ayuhlah sahabat, kita teguhkan hati, kerana kelesuan kita bukan disebabkan tarbiyah yang tidak basah, tetapi kerana hati dan jiwa kita yang kering.

2 comments: