Saturday, 25 August 2012

IB: Sebuah Perjalanan Tarbiyah 2 (Cuba,cuba,dan CUBA!)


COURSEWORK YANG MEMBERI IBRAH


Kerja bertimbun? EE? IA? TOK?

Perjuangan didalam dunia IB terus ditempuh. Seperti biasa, coursework yang bertimbun-timbun terus menghantui diri sama seperti sebahagian besar student2 IB yang lain. Melihat diri sendiri dan sahabat-sahabat lain bertungkus lumus menyiapkan segala kerja seperti EE,IA, dan TOK kadang-kadang membuatkan diri semakin sakit kepala. Saya akui, disebabkan kerja-kerja yang sangat banyak dan mencabar itu, ramai yang kecundang dan perasaan malas menerpa diri. Maka mulalah kita membuka movie2, kononnya untuk menghilangkan stress, yang akhirnya, bukan setakat berakhir dengan 1 movie, tetapi bersambung sehingga 2,3 movie ditonton terus secara 'marathon'. Dan berbagai lagi cara digunakan untuk melarikan diri daripada terus menyiapkan coursework yang sudah sedia bertimbun tersebut. Disaat inilah munculnya perkataan berhantu yang sentiasa disebut2 dalam kalangan pelajar IB : PROCRASTINATION. 


Janganlah sampai jadi macam ni ye..
Percayalah, procrastination ini sememangnya pembunuh anda dalam senyap. Kecuali bagi mereka2 yang bertuah sahaja yang mana mereka masih selamber mampu menyiapkan EE,IA mahupun TOK walaupun masa yang tinggal hanya beberapa minit lagi dihantar. Lebih 'syok', mereka mendapat keputusan yang cemerlang pula bagi courseworks mereka itu, Tak mengapalah, mungkin mereka gifted student. Tetapi, bagi anda yang merasakan diri anda seorang manusia normal, berusahalah untuk menjauhi procrastination ini. Berpeganglah dengan suruhan Allah di dalam surah At-Taubah, ayat ke-41;

                              9:41
Berangkatlah kamu samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
(Al-Taubah [9] : 41)

Jadi, berangkatlah anda untuk menyiapkan segala courseworks IB sama ada anda berasa rajin mahupun malas. Di saat inilah ayat-ayat Al-Quran seperti ayat daripada surah At-Taubah ini memberi kesan yang sungguh mendalam kepada kita.

RESULT OH RESULT

Disebabkan menyedari saya ini bukanlah daripada golongan yang pandai, saya cuba sehabis baik untuk mencari mana-mana jalan yang membolehkan saya mendapat result yang baik dalam setiap peperiksaan, bermula daripada Semester 1. Saya try untuk buat apa sahaja cara, ada kalanya saya follow cara orang lain belajar, dan ada ketika saya menggunakan cara saya sendiri. Kadang-kadang terdetik didalam diri yang mengatakan : "semua cara aku dah buat, x tau nak buat macamana lagi". Disebabkan oleh usaha-usaha yang saya rasakan sudah all out, saya berazam setiap kali Semester Exam untuk naik ke pentas menerima anugerah Honor Roll (anugerah untuk mereka yg mendapat 36 point dan keatas).

Malangnya, bukan sekadar tidak mendapat Honor Roll, bahkan saya mencipta sejarah buat diri sendiri apabila Ibu Bapa saya dipanggil 3 kali berturut-turut bagi setiap Semester Exam untuk menghadiri Hari Akademik, iaitu perjumpaan antara Guru dan Ibu Bapa bagi membincangkan kelemahan akademik pelajar. Agaknya apa perasaan melalui situasi ini? Sudah tentu dan sudah jelas, semangat saya hancur setiap kali mendapat keputusan Semester Exam! Saya sudah memberi sepenuh daya usaha saya untuk study, tapi keputusannya memang mengecewakan lagi meremukkan hati saya! Inilah saat dimana orang selalu mengatakan: "Kedahsyatan IB ni kadang-kadang membuatkan air mata player rugby pun meleleh". Apatah lagi saya yang tidak pernah bermain rugby ini. 
Kecewa?
Tetapi, saya bersyukur kerana biah di KMB yang sentiasa mekar, membuatkan ukhuwah Islamiyyah disini cukup utuh. Sahabat-sahabat seperjuanganlah yang sentiasa menitipkan kata-kata semangat dan mengingatkan hubungan dengan Allah dan janji-janji yang ditawarkan Allah kepada mereka yang bersabar. Kepada sahabat-sahabat yang masih berjuang dan melalui situasi seperti apa yang saya lalui (mungkin x kot, sbb saya ni mcm teruk sgt je..), berpeganglah teguhlah dengan janji Allah ini; 
  
                            3:139 
Maksudnya;
Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati,sebab kamu paling tinggi derajatnya, jika kamu orang beriman. [Ali-Imran:139]

 Hayati juga janji Allah ini;

                          16:96
Maksudnya;
Apa yang ada disisimu akan lenyap, dan apa yang ada disisi Allah adalah kekal. Dan kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. [An-Nahl:96]

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang memberikan kita semangat untuk terus berjuang. Ayat-ayat Al-Quran inilah yang terus memberi nafas kepada saya untuk mengharungi kehidupan IB yang memeritkan bagi insan yang lemah seperti saya. Sememangnya, ujian Allah ini akan mendekatkan hamba kepadaNya. Alhamdulillah. Akhirnya janji Allah itu ditunaikan kepada saya lebih awal, iaitu didalam Result IB Final Exam.

PERJUANGAN BERMULA

Aik?? Kenapa perjuangan bermula pulak ni? Betul lah, habis perjuangan IB, perjuangan lain la pula bermula. Sememangnya pengalaman mengharungi IB memberikan saya segunung pengalaman yang bercampur pahit dan manisnya. Tetapi, setakat ini sahajalah untuk kita sama-sama bermuhasabah diri dan mengambil ibrah daripada pengalaman yang ditempuh. Kepada sahabat-sahabat yang masih berjuang di dalam IB, teruskan berjuang, saya yakin ramai daripada anda yang tidak melalui pun apa yang saya lalui, jadi, semestinya anda mampu meluncur lebih maju kehadapan. Teruskan berjuang, kutiplah pengalaman yang bertimbun-timbun daripada IB World. Tetapi, sekadar mengutip pengalaman tidak mencukupi, maka ceduklah tarbiyah daripada pengalaman itu buat memandu diri. 


InsyaAllah jumpa disini.. :D
Saya menunggu anda dipintu gerbang University of Southampton,United Kingdom. 
International Baccalaureate, Sebuah Perjalanan Tarbiyah. Allahua'lam.





IB : Sebuah Perjalanan Tarbiyah 1 (Langkah Bermula)



INTRODUCTION
Logo IB yang sentiasa menjadi pujaan.. 




International Baccalaureate (IB) sentiasa meniti di bibir pelajar-pelajar yang akan ke luar negara sebagai program ‘pre-university’ yang paling gerun lagi menakutkan. Cerita-cerita mengenai IB yang telah ‘membaham’ student2, sehingga sanggup menggadaikan nyawa sememangnya menegangkan seluruh urat saraf mereka2 yang ‘bertuah’ terpilih bergelar student di mana2 IB World School. Jadi, setelah mengerah fikiran, akhirnya, saya memilih untuk berkongsi secebis pengalaman yang dapat dikutip sepanjang 2 tahun meredah kehidupan dengan menanggung title sebagai IB Student di Kolej MARA Banting (KMB). Bukanlah untuk menunjuk2, mendabik dada kerana masih berjaya hidup bernafas selepas 2 tahun yang hebat itu,tapi hanyalah sekadar berkongsi perjalanan hidup yang telah Allah kurniakan seterusnya menceduk ibrah2 yg mengasyikkan jiwa. Perkongsian ini lebih ditujukan kepada sahabat-sahabat yang baru menapak dan juga yang sedang berjuang di dalam program ini walau di kolej mana pun anda belajar.

SPM: KUN FAYAKUN
Dewan yg mencipta sejarah buat diri.




Sebelum masuk kepada pengalaman di IB, saya mulakan dengan kisah ini dahulu. Ketika menerima keputusan SPM, saya tertunduk kecewa saat nama-nama pelajar yang mendapat straight A disebut satu persatu di Dewan Besar Nik Mahyudin Wan Musa (dewan sekolah saya),kerana lansung tidak kedengaran nama saya dipanggil. Akhirnya, saya hanya mampu membawa pulang sekeping kertas yang tertera 10A 1C untuk ditunjukkan kepada ayah saya yang sedang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika itu. Tidak perlulah diceritakan subjek apakah C itu, cukuplah sekadar tahu ia adalah satu daripada subjek Science. Hati siapa yang tidak pilu apabila membawa ‘seketul’ C disaat ayah yang sedang sakit, yang sudah semestinya mengharapkan kejayaan terbaik daripada anaknya. Tika itu, harapan saya sejak tingkatan 1 untuk menyambung pelajaran ke luar negara kelihatan samar. Tetapi, janji Allah itu benar, tidak disangka-sangka, setelah mengharungi 2 peringkat interview, FELDA menawarkan saya biasiswa untuk menyambung pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Mechanical Engineering. Satu rezeki yang tidak disangka-sangka dikurniakan oleh Dia.



LANGKAH BERMULA




Ditawarkan program IB di Kolej MARA Banting sememangnya menggugat keyakinan saya. Apa tidaknya, dengan keputusan SPM yang tidak cemerlang, sambung pula dalam program maut seperti IB adalah seperti menggantung diri sendiri pada tali gantung. Namun, saya anggap itu sebagai cabaran dan saya berazam untuk buktikan kepada semua orang saya juga mampu berjaya. Saya amat yakin dan percaya, sepanjang sejarah KMB, sayalah orang pertama yang mendaftar program IB dengan berbekalkan result SPM sedemikian rupa. Perasaan malu ketika rakan-rakan kolej bertanya mengenai result SPM hanya Allah yang tahu. Apa tidaknya, apabila masuk ke KMB, saya telah mencampakkan diri saya ke dalam golongan elit yang mempunyai result SPM bertaraf superb, berbelas2 A+! Saya berasa TERAMAT berdebar-debar ketika masuk ke kelas pertama setiap subjek kerana kami, pelajar baru perlu memperkenalkan diri. Di dalam hati, saya tidak putus-putus berdoa agar cikgu tidak bertanya mengenai keputusan SPM. Syukur, hanya beberapa guru yang bertanya keputusan SPM kami pelajar baru.
Kata2 semangat pada dinding bilik untuk diri sendiri.





Selain itu, kehidupan di KMB yang ‘dikelilingi’ English agak memberi culture shock kepada saya. Walaupun sebelum ke KMB saya bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP),saya lansung tidak pernah bertutur dalam English secara serius, padan muka kat diri sendiri, kalau adapun hanyalah ketika kelas English di dalam bilik darjah. Bahkan saya sendiri agak teruk pencapaian di dalam subjek ‘bahasa orang puteh’ ini dan buktinya, ketika di Tingkatan 5, saya ditempatkan di dalam Set 3, iaitu kelas terakhir bagi subjek English. Untuk pengetahuan, di sekolah menengah saya, pelajar2 akan diasingkan apabila tiba waktu subjek English.  Ditambah pula saya yang berasal dari kampung yang sudah pasti tidak kedengaran bahasa ini dituturkan. Sehinggakan ada segelintir rakan-rakan sekolah saya yang memperlekehkan saya kerana dapat peluang ke United Kingdom sedangkan saya hanyalah pelajar kelas tercorot bagi subjek ini. Itulah gambaran tahap English saya saat menjejakkan kaki ke bumi KMB untuk mengharungi IB. Namun, saya tanamkan tekad di dalam diri untuk membuktikan anak kampung juga mampu, saya cuba untuk bertutur dengan rakan-rakan didalam English, begitu juga dengan guru-guru. Walaupun saya tahu saya bercakap sangatlah tunggang langgang di dalam English,seperti biasa, buat sahaja ‘tidak tahu’. Walaubagaimanapun,seperti biasalah, semangat untuk bercakap dalam English sedikit pudar apabila masa berlalu, :P yang part ni jangan diikut ya.



IBRAH KEHIDUPAN




Sedikit sebanyak, saya rasa dapat menceduk ibrah daripada secebis kisah ini. 
Kepada sahabat-sahabat yang baru bermula ataupun yang sedang berjuang dalam International Baccalaureate ini, saya yakin anda menggenggam keputusan SPM yang sangat hebat, jauh dan sangat jauh meninggalkan keputusan saya yang rendah itu. Jadi, mengapa perlu takut menghadapi IB? Mengapa banyak mengeluh dengan kerja yang bertimbun? Sehingga ada yang mahu give up, sehingga ada yang putus harapan. Yakinlah dengan apa yang Allah berikan kepada anda ketika ini. Yakinlah dengan janji Allah didalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 :  

                           لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya;
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya,”




Lihatlah kasih sayang Allah, walaupun kita sentiasa rasa tidak mampu untuk melakukan sesuatu, tidak mampu untuk mengharungi onak badai kehidupan, Dia datang membawa janji ini. Ingatlah sahabat-sahabat, Allah akan memberi apa yang kita mampu hadapi. IB ini hanyalah secebis perjalanan hidup kita. Jadi tempuhilah sahaja ia sambil memohon bantuan daripada Allah apabila berdepan kesukaran, bukan menghadapi kesukaran dengan cara lari meninggalkannya. Apabila berasa diri penuh kekurangan, penuh kelemahan, segera perbaiki dan bermunajatlah minta bantuan daripadaNya. Sekian dahulu untuk perkongsian ini, saya akan berkongsi kehidupan di IB seterusnya di dalam IB : Sebuah PerjalananTarbiyah 2 pula. Saya tutup perkongsian ini dengan satu ayat Al-Quran untuk sama-sama kita hayati maksudnya. Never give up! Anda boleh! 


                           إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Maksudnya: 
"…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri…” [Ar-Ra’d:11]