Friday, 22 March 2013

Kembara Ilmu United Kingdom


Bismillahirrahmanirrohim. Perkongsian ini bukanlah untuk mengagung-agungkan tanah penjajah United Kingdom. Tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman sepanjang berada di bumi ini, terutama kepada pelajar-pelajar yang sedang berkira-kira ingin menyambung pelajaran ke luar negara, tetapi masih samar-samar untuk membuat pilihan negara. InsyaAllah saya akan berkongsi tentang beberapa aspek tentang kehidupan di United Kingdom yang sering pelajar tertanya-tanya.



SISTEM PEMBELAJARAN

Winter 2012
UK memang terkenal sebagai satu negara yang terkehadapan dalam bidang pendidikan, dan beberapa universiti masyhur seperti University of Cambridge, University of Oxford, Imperial College London, University College London, dan lain-lain ada di sini. Pada pendapat saya, tidak terlalu besar jurang perbezaan silibus pembelajaran yang diguna pakai di Malaysia dan UK, tetapi, dari aspek tenaga pengajar dan cara pembelajaran, mungkin ada sedikit perbezaan. Saya tidak berniat untuk merendahkan tenaga pengajar di Malaysia, tetapi memang tidak dapat disangkal bahawa kebanyakan tenaga pengajar di university-universiti di UK terutama ‘top’universiti terdiri daripada orang-orang yang hebat dan diiktiraf dunia. Terdapat ramai tenaga pengajar di university-universiti seluruh UK yang pernah menerima nobel prize (boleh rujuk Wikipedia). Saya tidak akan sentuh banyak perkara tentang sistem pembelajaran, tetapi insyaAllah, anda akan dapat yang terbaik jika belajar disini.

MASYARAKAT



Secara keseluruhan, masyarakat di UK terutama British mempunyai budaya hidup yang baik. Benar apa yang dikatakan oleh Sheikh Muhammad Abduh: “Di Eropah, aku melihat Islam tanpa Muslim, bila pulang ke Mesir, aku melihat ramai Muslim tanpa Islam. Jika anda ingin melihat satu tamadun masyarakat yang ada nilai-nilai Islam, datanglah ke sini. Mereka akan bantu kita dan melayan kita dengan bersungguh-sungguh walaupun kita datang daripada negara yang ketinggalan di belakang mereka. Saya membandingkan cara kita, sebahagian besar rakyat Malaysia melayan mereka yang datang daripada negara sedikit ketinggalan daripada kita. Saya tidak nafikan terdapat segelintir daripada masyarakat UK yang tidak ada budaya hidup yang baik ini dalam diri mereka. Dan saya juga tidak nafikan masyarakat di barat sememangnya mempunyai budaya hidup yang tidak sesuai dengan cara hidup Muslim seperti pergaulan bebas. Tetapi masih banyak budaya hidup mereka yang baik dan ada nilai Islam di dalamnya yang kita dapat ambil. Saya tidak dapat berkongsi kesemuanya disini, jika anda ingin rasai pengalaman hidup dalam masyarakat ini, datanglah ke UK.  

 BIAH ISLAMIAH

Biah Islamiah ataupun suasana Islamik adalah salah satu aspek yang selalu diambil berat oleh pelajar yang ingin menyambung belajar ke luar negara. Di UK, walaupun sebuah negara barat yang bebas dan terbuka, tetapi biah Islamiah dalam kalangan pelajar Malaysia sangat subur. Pelbagai aktiviti-aktiviti berunsur Islam yang diadakan dalam kalangan Malaysian hampir setiap minggu, yang mana sebahagian daripada kita tidak pernah merasainya walaupun berada di Malaysia. Ketika cuti musim sejuk dan musim bunga, ada beberapa ‘gathering’ diadakan untuk membina hubungan antara  pelajar Muslim Malaysia dan juga membina sahsiah diri pelajar. Di negara sini, anda boleh menjadi lebih baik dan boleh juga menjadi lebih teruk, semuanya pilihan anda sendiri. Terdapat pelajar yang tidak mengenal apa itu usrah sebelum ini, akan kenal dan jatuh cinta dengannya di UK. 

Siti Fatimah Mukhtar with her usrah group.
Mereka yang aktif dalam dakwah sebelum ini juga akan menjadi lebih aktif disini. Saya ingin membawa contoh 2 orang bekas pelajar terbaik Malaysia SPM 2006 dan 2008, Siti Fatimah Mukhtar dan Nik Nur Madihah. Kedua-dua mereka ini sedang belajar di University of Nottingham dalam bidang Perubatan dan Fizik. Sudah beberapa kali saya berjumpa mereka didalam beberapa program bercorak Islam disini dan mereka sememangnya hebat, sangat aktif dalam dakwah disini. Jadi, anda yang datang ke UK akan berpeluang merasai biah Islamiah. Tetapi ianya tetap terletak pada pilihan anda untuk mengikutinya atau tidak. Dari segi aspek keselamatan pula, cukup saya katakan bahawa bagi pelajar perempuan yang ingin keluar rumah untuk ke kedai atau sebagainya, tidak memerlukan Musyrif mahupun Musyrifah (Minta maaf ya pelajar-pelajar di Middle East J). Tetapi langkah-langkah keselamatan tetap perlu diambil berat oleh pelajar.

TOKOH HEBAT DAN TERBUKA

Disamping itu, di United Kingdom juga, anda berpeluang untuk mengikuti dengan aktif ‘talk’ dan seminar yang dihadiri tokoh-tokoh Islam hebat seperti Tariq Ramadhan, Sister Myriam Francois Cerrah, Abdal Hakim Murad, dan lain-lain. ‘Talk’ daripada tokoh-tokoh hebat seperti mereka ini kerap diadakan, hanya terletak kepada kita untuk hadir atau tidak. Disamping itu, masyarakat disini amat terbuka, kita juga boleh hadir ke talk-talk agama lain tanpa rasa takut, dan perbincangan tentang agama disini turut terbuka dan aktif. Pada pemerhatian saya, perbincangan tentang agama walaupun di kedai kopi sekalipun bukanlah perkara yang sensitif disini. Bahkan, daripada pengalaman saya, pernah diadakan satu talk tentang Palestin di universiti saya, Southampton,yang mana sebahagian besar hadirin ialah terdiri daripada non-muslim.

PENGAMALAN CARA HIDUP ISLAM

Solat di tepi sungai ketika Rehlah Insaniah Seluruh England 2012
UK merupakan satu negara yang amat pesat bertambah dari segi bilangan Muslim. Disini, kita bebas mengamalkan cara hidup Islam. Dari segi makanan halal, ia bukan masalah besar di sebahagian besar tempat di UK, mudah didapati dan murah, bahkan kadang-kadang,sesetengah tempat di UK ini ibarat syurga makanan bagi kita. Jadi perlu berhati-hati agar kita tidak membawa ‘bebanan’ lebih apabila pulang ke Malaysia nanti. Bilangan masjid juga semakin bertambah di UK, tetapi tidaklah semudah di Malaysia untuk kita dapat bersolat di masjid. Di luar negara/UK lah kita akan dapat merasa nikmat bersolat dimerata tempat, seperti di fitting room sambil beralaskan baju Topman mahupun Zara. Bersolat di merata-rata seperti di tepi jalan, fire exit, padang rumput, atas salji, dan lain-lain merupakan satu perkara biasa disini, yang mana akan dipandang aneh jika diamalkan di Malaysia. Disini lah kita akan merasa betapa mudahnya mengamalkan cara hidup Islam.

KEWANGAN DAN TEMPAT

Jalan-jalan itu wajib.
Sebahagian besar pelajar-pelajar di UK ditaja oleh MARA,JPA, FELDA, PETRONAS, SHELL, SIME DARBY, YAYASAN TERENGGANU, TNB, dan juga PaMa. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kewangan pelajar disini. Cukup sekadar saya katakan bahawa biasiswa yang diterima sangat lebih daripada cukup. Duit yang anda peroleh itu boleh membawa anda ke merata-rata tempat, dan boleh juga anda gunakan untuk pulangan balik kepada masyarakat. Jadi, tidak pelik jika kita melihat ada pelajar-pelajar di luar negara khususnya di UK yang berkahwin ketika belajar, tetapi masih dapat hidup selesa tanpa masalah kewangan. Mengenai tempat-tempat menarik di UK pula, saya menasihatkan anda untuk bertanya Encik Google mahupun agen pelancongan.

Setakat ini sahaja. Saya berharap perkongsian saya yang ringkas (agak panjang lebar) ini dapat memberi sedikit gambaran kepada anda, pelajar yang masih tercari-cari destinasi pembelajaran seterusnya.  Allahua’lam.


Tuesday, 19 March 2013

Tarbiyah Yang Tidak Basah atau Hati Yang Kering Rapuh?

TARBIYAH BASAH?


Frasa 'tarbiyah basah' saya kira sudah menjadi satu kelaziman bagi mereka yang berada dalam sistem tarbiyah. Tetapi, telah menjadi satu fenomena yang merbahaya kepada Muslim apabila ke'istiqomah'an kita dalam membuat amal ibadat dan bekerja di medan amal disandarkan kepada kualiti dan kuantiti 'tarbiyah basah' yg diterima. Sehinggakan keberadaan sesetengah daripada kita didalam satu-satu jemaah, turut disandarkan kepada sejauh mana satu-satu jemaah itu 'basah' tarbiyahnya. Seringkali ayat-ayat seperti ini diungkapkan:

1. "Mutabaah amal ana makin berterabur lah, sebab sudah lama tak dapat tarbiyah basah."
2. "Maaf kalau ana sudah jarang buat usrah, sebab ana sendiri sudah lama tak dapat tarbiyah basah"
3. "Ana tak nak join Jemaah anta, sebab Jemaah anta tarbiyahnya kering kontang.

Mungkin ayat-ayat diatas ada antara kita yang pernah mendengarnya. Saya sendiri masih sangsi apa sebenarnya definisi 'tarbiyah basah' bagi mereka yang selalu mengungkapkannya. Tidak mengapa, kita ketepikan soal definisi tersebut.

Tetapi apa yang ingin ditimbulkan di sini, apakah fenomena futur, malas beramal, dan berat untuk bekerja di medan amal itu disebabkan oleh tarbiyah yang tidak basah atau hati kita sendiri yang kering? Perkara ini amat penting untuk kita semua fikirkan.

FENOMENA BERBAHAYA



Fenomena ini amat berbahaya. Tidak dinafikan, kehadiran sahabat di sekeliling memberi kata-kata yang mengasyikkan hati untuk bergerak bekerja di medan amal diperlukan bagi menguatkan semangat kita. Tetapi, dalam melalui hidup sebagai Muslim, lebih-lebih lagi sebagai pekerja dakwah, tidak selamanya sahabat akan berada disisi kita. Jadi, dalam situasi ini, hati (iman) yang dimiliki oleh kita yang akan menentukan hala tuju kita. Jika selama ini kita hanya bergantung kepada 'tarbiyah basah' yang disuap untuk bergerak, maka akan hanyutlah kita dibawa arus futur, tetapi, jika kita sudah mempersiapkan hati dengan  kekebalan, insyaAllah, kita kan terus istiqomah dan thabat. Disaat inilah pentingnya kekuatan Tarbiyah Dzatiyah dimiliki oleh para pekerja dakwah.

Dalam melalui jalan dakwah yang panjang ini juga, tidak selamanya kita akan menerima 'tarbiyah basah', akan tiba masanya kita disajikan dengan 'tarbiyah kering'. Perkara-perkara seperti kerja-kerja teknikal yang menimbun, meeting/musyawarah yang berpanjangan sehingga 2-3 jam, berseorangan dalam gerak kerja, cacian mahupun kutukan sinis dari sahabat sendiri akan menjadi resam dalam mengharungi jalan ini. Disini, hati yang basah amat diperlukan disaat tarbiyah kering yang disajikan kepada kita, untuk memastikan diri ini terus bergerak di medan amal.

TELUSURI SIRAH PERJUANGAN 



Jika kita menulusuri sirah Nabi dan para sahabat baginda, kita akan melihat berapa ramai sahabat2 yang dihantar ke kawasan-kawasan di luar Mekah dan Madinah untuk berdakwah kepada masyarakat, bahkan ada sahabat yang dihantar berdakwah berseorangan. Jika para sahabat ini hanya mengharapkan 'tarbiyah basah' daripada Rasulullah, mana mungkin mereka mampu bergerak bersungguh-sungguh menyebarkan risalah agung ini berseorangan dicelah-celah masyarakat yang penuh jahiliyyah. Pokok pangkalnya, hati yang diserap iman yang teguh yang menjadi asbab kekuatan.

Apakah solusi bagi menguatkan hati kita yang kering lagi rapuh ini? Kita boleh dapatkan jawapannya di dalam hadis Rasulullah ini:

Dari Abdullah Ibnu Umar r.a meriwayatkan, Rasulullah bersabda:
 “Seseungguhnya hati ini dapat berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air.” Kemudian, beliau ditanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?” Rasulullah saw bersabda, “ Memperbanyak mengingati maut dan membaca Al-Quran.”(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Jadi, ayuhlah sahabat, kita teguhkan hati, kerana kelesuan kita bukan disebabkan tarbiyah yang tidak basah, tetapi kerana hati dan jiwa kita yang kering.

Sunday, 3 February 2013

Luqman Al-Hakim Sudah Berpesan


WASIAT LUQMAN AL-HAKIM? ARGGHH..LAGI..

Akhirnya, habis juga ditelan isi buku ini. Harapnya, akan dihadam pula.

“Argghh…ini lagi, bosanlah, selalu sangat dah orang cakap pasal ni, tak ada topik yang menaikkan semangat sikit ke?? “

Assalamualaikum sahabat seantero pelusuk dunia. Mungkin dialog diatas terbit dihati sebahagian antara kita bila ada yang ingin berbicara tentang wasiat Luqman Al-Hakim ini. Kebosanan melanda. Tapi, cuba balik dan periksa diri, adakah kita hadam betul-betul dengan sebaiknya apa yang Luqman Al-Hakim ingin sampaikan, yang bukan sahaja kepada anaknya, tetapi kepada kita semua. Ingatkah kita satu persatu apa yang Luqman wasiatkan? Tidak? Kalau tidak, anda dinasihati untuk teruskan membaca sharing ini. InsyaAllah, sharing ini bukanlah untuk berbicara satu demi satu wasiat-wasiat yang disampaikan oleh Luqman, tetapi sekadar mengambil intipati berkenaan  SYUKUR yang boleh kita menghirup ibrah daripadanya.

Wasiat Luqman Al-Hakim telah dinukilkan didalam Al-Quran didalam surah Luqman, ayat 13-19. Jadi saya menasihati untuk kita mentadabbur ayat ini dan kalau mampu (baca:sepatutnya) hafallah ayat ini.

BERSYUKUR LAH.

Bersyukur dengan bersujud kepadaNya.
(sumber)
Syukur sebenarnya satu perkara yang besar, tetapi kita hamba yang lemah, dan ‘sentiasa melemahkan diri’ ini kerap terlepas pandang akan kepentingan bersyukur ini. Sahl Ibn Abdullah telah mendifinisikan syukur sebagai :

Bermujahadah melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan, sama ada ketika bersendirian atau dalam keadaan terang-terangan.

Daripada definisi syukur diatas, jelas lagi terang bahawa syukur bukan sekadar dilafaz di mulut dengan ucapan Alhamdulillah semata-mata! Tetapi yang lebih penting, indikator kita bersyukur ialah apabila semakin meningkatnya amal kebaikan kita, dan semakin berkurangnya keji maksiat yang kita lakukan. Tambahan, amal kebaikan yang dibuat bukan sekadar apabila kita dihadapan orang, yang biasanya kita akan dihambur dengan puji-pujian, tetapi turut dilakukan apabila berseorangan. Begitu juga dengan maksiat yang kita lakukan, bukan hanya kita jauhi maksiat apabila berada didalam keadaan yang ramai orang, bukan ketika berada bersama ikhwah-ikhwah mahupun akhawat-akhawat seusrah sahaja, tetapi turut meninggalkan maksiat ketika kita duduk berseorangan, yang mana, ketika itu hanya, Allah, malaikat, syaitan, dan mungkin haiwan-haiwan sahaja yang menyaksikan perbuatan kita. Inilah erti syukur sebenar, cuba check diri kita, tergolongkah kita dalam team ‘Orang Bersyukur’ ? Arghh..sungguh rugilah kita jika terkeluar dari team yang hebat ini, kerana Allah telah berjanji kepada team ini:


Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu,…. [Surah Ibrahim, 14:7]


RASULULLAH BERSYUKUR LAGI BANYAK DARI KITA, MALULAH..


Bangkit dari lenamu!
(sumber)

Kehebatan Rasulullah dalam menjadi teladan kepada umatnya, memang sedikitpun tidak boleh disangkal, dan hanya orang yang otaknya dangkal akan menyangkal.
Kisah ini telah disampaikan oleh ‘Aishah radhiallahu’ anha sendiri di dalam sebuah hadis:

Maksudnya:

Sungguh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. ‘Aishah berkata kepada baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur? [Hadis riwayat Imam al-Bukhari] 


Sahabat, cuba bandingkan dengan diri kita.  Subhanallah, betapa jauhnya kita dengan Rasulullah. Rasulullah yang telah dijanjikan syurga pun masih bersungguh-sungguh membuat amal kebaikan untuk menunjukkan rasa syukur Baginda kepada Allah S.W.T. Kita pula bagaimana? Sungguh hebat kita ini kerana ‘yakin untuk menghadapi api neraka’. Sememangnya kita tidak mampu sampai ketahap hebatnya syukur Rasulullah, tetapi sejauh mana USAHA kita untuk mencapai tahap Rasulullah itu? Malulah kita jika riang gembira menikmati pemberianNya, tapi masih enak berdiam dibawah selimut.

AYUH!

Ayuh, mulai saat ini, kita pasakkan azam didalam diri, untuk menjadi hambaNya yang sentiasa mensyukuri nikmat yang tidak terhitung ini. Cuba kita duduk, dan imbas kembali kehidupan kita semenjak kecil sehingga kini, betapa kita ini sudah menerima banyak kesenangan, dan kemudian fikirkan, berapa banyak pula kita memberi. Ayuh menjadi golongan bersyukur!

Thursday, 31 January 2013

Suara Dari Salju


KLIA- 21/9/2012

Wahai abah, wahai emak,
Aku kerahi diri menerobos bumi kulit putih,
Membanting amanah sang peneroka,
Torehan mereka pohon-pohon getah,
Di celah belantara mencengkam,
Titisan puteh kenyal,
Membawaku mencecah lantai bumi dingin,



Didalam burung bertatah besi itu,
Ku saksi simpang siur manusia,
Semakin kecil dianak mata,
Hilang, dan hilang,lenyap,
Heathrow,London- 22/9/2012
Dicelah tompokan putih,
Kerdilnya aku dikerlinganMu.




Pagi itu, mentari bak ais,
Menerkam temulang yang jakun,
Mata berkedip tidak,
Tertancap alamMu yang tiada bertepi.



Di tanah ini,
Aku miliki mata Sheikh Abduh,
Southampton, Winter 2013 (sumber: Fotografifi)
Aku melihatnya! Saksi! Terpegun!Nganga!
Mereka merajai sifat agama suci itu!
Biarpun mereka bukan sang suci.



Wahai abah, wahai emak,
Ku terus sisip kerak dada,
Aku terus gagahi meraba lentera.




~Wessex Lane, Southampton. 1 Feb 2013.



Saturday, 25 August 2012

IB: Sebuah Perjalanan Tarbiyah 2 (Cuba,cuba,dan CUBA!)


COURSEWORK YANG MEMBERI IBRAH


Kerja bertimbun? EE? IA? TOK?

Perjuangan didalam dunia IB terus ditempuh. Seperti biasa, coursework yang bertimbun-timbun terus menghantui diri sama seperti sebahagian besar student2 IB yang lain. Melihat diri sendiri dan sahabat-sahabat lain bertungkus lumus menyiapkan segala kerja seperti EE,IA, dan TOK kadang-kadang membuatkan diri semakin sakit kepala. Saya akui, disebabkan kerja-kerja yang sangat banyak dan mencabar itu, ramai yang kecundang dan perasaan malas menerpa diri. Maka mulalah kita membuka movie2, kononnya untuk menghilangkan stress, yang akhirnya, bukan setakat berakhir dengan 1 movie, tetapi bersambung sehingga 2,3 movie ditonton terus secara 'marathon'. Dan berbagai lagi cara digunakan untuk melarikan diri daripada terus menyiapkan coursework yang sudah sedia bertimbun tersebut. Disaat inilah munculnya perkataan berhantu yang sentiasa disebut2 dalam kalangan pelajar IB : PROCRASTINATION. 


Janganlah sampai jadi macam ni ye..
Percayalah, procrastination ini sememangnya pembunuh anda dalam senyap. Kecuali bagi mereka2 yang bertuah sahaja yang mana mereka masih selamber mampu menyiapkan EE,IA mahupun TOK walaupun masa yang tinggal hanya beberapa minit lagi dihantar. Lebih 'syok', mereka mendapat keputusan yang cemerlang pula bagi courseworks mereka itu, Tak mengapalah, mungkin mereka gifted student. Tetapi, bagi anda yang merasakan diri anda seorang manusia normal, berusahalah untuk menjauhi procrastination ini. Berpeganglah dengan suruhan Allah di dalam surah At-Taubah, ayat ke-41;

                              9:41
Berangkatlah kamu samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
(Al-Taubah [9] : 41)

Jadi, berangkatlah anda untuk menyiapkan segala courseworks IB sama ada anda berasa rajin mahupun malas. Di saat inilah ayat-ayat Al-Quran seperti ayat daripada surah At-Taubah ini memberi kesan yang sungguh mendalam kepada kita.

RESULT OH RESULT

Disebabkan menyedari saya ini bukanlah daripada golongan yang pandai, saya cuba sehabis baik untuk mencari mana-mana jalan yang membolehkan saya mendapat result yang baik dalam setiap peperiksaan, bermula daripada Semester 1. Saya try untuk buat apa sahaja cara, ada kalanya saya follow cara orang lain belajar, dan ada ketika saya menggunakan cara saya sendiri. Kadang-kadang terdetik didalam diri yang mengatakan : "semua cara aku dah buat, x tau nak buat macamana lagi". Disebabkan oleh usaha-usaha yang saya rasakan sudah all out, saya berazam setiap kali Semester Exam untuk naik ke pentas menerima anugerah Honor Roll (anugerah untuk mereka yg mendapat 36 point dan keatas).

Malangnya, bukan sekadar tidak mendapat Honor Roll, bahkan saya mencipta sejarah buat diri sendiri apabila Ibu Bapa saya dipanggil 3 kali berturut-turut bagi setiap Semester Exam untuk menghadiri Hari Akademik, iaitu perjumpaan antara Guru dan Ibu Bapa bagi membincangkan kelemahan akademik pelajar. Agaknya apa perasaan melalui situasi ini? Sudah tentu dan sudah jelas, semangat saya hancur setiap kali mendapat keputusan Semester Exam! Saya sudah memberi sepenuh daya usaha saya untuk study, tapi keputusannya memang mengecewakan lagi meremukkan hati saya! Inilah saat dimana orang selalu mengatakan: "Kedahsyatan IB ni kadang-kadang membuatkan air mata player rugby pun meleleh". Apatah lagi saya yang tidak pernah bermain rugby ini. 
Kecewa?
Tetapi, saya bersyukur kerana biah di KMB yang sentiasa mekar, membuatkan ukhuwah Islamiyyah disini cukup utuh. Sahabat-sahabat seperjuanganlah yang sentiasa menitipkan kata-kata semangat dan mengingatkan hubungan dengan Allah dan janji-janji yang ditawarkan Allah kepada mereka yang bersabar. Kepada sahabat-sahabat yang masih berjuang dan melalui situasi seperti apa yang saya lalui (mungkin x kot, sbb saya ni mcm teruk sgt je..), berpeganglah teguhlah dengan janji Allah ini; 
  
                            3:139 
Maksudnya;
Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati,sebab kamu paling tinggi derajatnya, jika kamu orang beriman. [Ali-Imran:139]

 Hayati juga janji Allah ini;

                          16:96
Maksudnya;
Apa yang ada disisimu akan lenyap, dan apa yang ada disisi Allah adalah kekal. Dan kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. [An-Nahl:96]

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang memberikan kita semangat untuk terus berjuang. Ayat-ayat Al-Quran inilah yang terus memberi nafas kepada saya untuk mengharungi kehidupan IB yang memeritkan bagi insan yang lemah seperti saya. Sememangnya, ujian Allah ini akan mendekatkan hamba kepadaNya. Alhamdulillah. Akhirnya janji Allah itu ditunaikan kepada saya lebih awal, iaitu didalam Result IB Final Exam.

PERJUANGAN BERMULA

Aik?? Kenapa perjuangan bermula pulak ni? Betul lah, habis perjuangan IB, perjuangan lain la pula bermula. Sememangnya pengalaman mengharungi IB memberikan saya segunung pengalaman yang bercampur pahit dan manisnya. Tetapi, setakat ini sahajalah untuk kita sama-sama bermuhasabah diri dan mengambil ibrah daripada pengalaman yang ditempuh. Kepada sahabat-sahabat yang masih berjuang di dalam IB, teruskan berjuang, saya yakin ramai daripada anda yang tidak melalui pun apa yang saya lalui, jadi, semestinya anda mampu meluncur lebih maju kehadapan. Teruskan berjuang, kutiplah pengalaman yang bertimbun-timbun daripada IB World. Tetapi, sekadar mengutip pengalaman tidak mencukupi, maka ceduklah tarbiyah daripada pengalaman itu buat memandu diri. 


InsyaAllah jumpa disini.. :D
Saya menunggu anda dipintu gerbang University of Southampton,United Kingdom. 
International Baccalaureate, Sebuah Perjalanan Tarbiyah. Allahua'lam.





IB : Sebuah Perjalanan Tarbiyah 1 (Langkah Bermula)



INTRODUCTION
Logo IB yang sentiasa menjadi pujaan.. 




International Baccalaureate (IB) sentiasa meniti di bibir pelajar-pelajar yang akan ke luar negara sebagai program ‘pre-university’ yang paling gerun lagi menakutkan. Cerita-cerita mengenai IB yang telah ‘membaham’ student2, sehingga sanggup menggadaikan nyawa sememangnya menegangkan seluruh urat saraf mereka2 yang ‘bertuah’ terpilih bergelar student di mana2 IB World School. Jadi, setelah mengerah fikiran, akhirnya, saya memilih untuk berkongsi secebis pengalaman yang dapat dikutip sepanjang 2 tahun meredah kehidupan dengan menanggung title sebagai IB Student di Kolej MARA Banting (KMB). Bukanlah untuk menunjuk2, mendabik dada kerana masih berjaya hidup bernafas selepas 2 tahun yang hebat itu,tapi hanyalah sekadar berkongsi perjalanan hidup yang telah Allah kurniakan seterusnya menceduk ibrah2 yg mengasyikkan jiwa. Perkongsian ini lebih ditujukan kepada sahabat-sahabat yang baru menapak dan juga yang sedang berjuang di dalam program ini walau di kolej mana pun anda belajar.

SPM: KUN FAYAKUN
Dewan yg mencipta sejarah buat diri.




Sebelum masuk kepada pengalaman di IB, saya mulakan dengan kisah ini dahulu. Ketika menerima keputusan SPM, saya tertunduk kecewa saat nama-nama pelajar yang mendapat straight A disebut satu persatu di Dewan Besar Nik Mahyudin Wan Musa (dewan sekolah saya),kerana lansung tidak kedengaran nama saya dipanggil. Akhirnya, saya hanya mampu membawa pulang sekeping kertas yang tertera 10A 1C untuk ditunjukkan kepada ayah saya yang sedang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika itu. Tidak perlulah diceritakan subjek apakah C itu, cukuplah sekadar tahu ia adalah satu daripada subjek Science. Hati siapa yang tidak pilu apabila membawa ‘seketul’ C disaat ayah yang sedang sakit, yang sudah semestinya mengharapkan kejayaan terbaik daripada anaknya. Tika itu, harapan saya sejak tingkatan 1 untuk menyambung pelajaran ke luar negara kelihatan samar. Tetapi, janji Allah itu benar, tidak disangka-sangka, setelah mengharungi 2 peringkat interview, FELDA menawarkan saya biasiswa untuk menyambung pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Mechanical Engineering. Satu rezeki yang tidak disangka-sangka dikurniakan oleh Dia.



LANGKAH BERMULA




Ditawarkan program IB di Kolej MARA Banting sememangnya menggugat keyakinan saya. Apa tidaknya, dengan keputusan SPM yang tidak cemerlang, sambung pula dalam program maut seperti IB adalah seperti menggantung diri sendiri pada tali gantung. Namun, saya anggap itu sebagai cabaran dan saya berazam untuk buktikan kepada semua orang saya juga mampu berjaya. Saya amat yakin dan percaya, sepanjang sejarah KMB, sayalah orang pertama yang mendaftar program IB dengan berbekalkan result SPM sedemikian rupa. Perasaan malu ketika rakan-rakan kolej bertanya mengenai result SPM hanya Allah yang tahu. Apa tidaknya, apabila masuk ke KMB, saya telah mencampakkan diri saya ke dalam golongan elit yang mempunyai result SPM bertaraf superb, berbelas2 A+! Saya berasa TERAMAT berdebar-debar ketika masuk ke kelas pertama setiap subjek kerana kami, pelajar baru perlu memperkenalkan diri. Di dalam hati, saya tidak putus-putus berdoa agar cikgu tidak bertanya mengenai keputusan SPM. Syukur, hanya beberapa guru yang bertanya keputusan SPM kami pelajar baru.
Kata2 semangat pada dinding bilik untuk diri sendiri.





Selain itu, kehidupan di KMB yang ‘dikelilingi’ English agak memberi culture shock kepada saya. Walaupun sebelum ke KMB saya bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP),saya lansung tidak pernah bertutur dalam English secara serius, padan muka kat diri sendiri, kalau adapun hanyalah ketika kelas English di dalam bilik darjah. Bahkan saya sendiri agak teruk pencapaian di dalam subjek ‘bahasa orang puteh’ ini dan buktinya, ketika di Tingkatan 5, saya ditempatkan di dalam Set 3, iaitu kelas terakhir bagi subjek English. Untuk pengetahuan, di sekolah menengah saya, pelajar2 akan diasingkan apabila tiba waktu subjek English.  Ditambah pula saya yang berasal dari kampung yang sudah pasti tidak kedengaran bahasa ini dituturkan. Sehinggakan ada segelintir rakan-rakan sekolah saya yang memperlekehkan saya kerana dapat peluang ke United Kingdom sedangkan saya hanyalah pelajar kelas tercorot bagi subjek ini. Itulah gambaran tahap English saya saat menjejakkan kaki ke bumi KMB untuk mengharungi IB. Namun, saya tanamkan tekad di dalam diri untuk membuktikan anak kampung juga mampu, saya cuba untuk bertutur dengan rakan-rakan didalam English, begitu juga dengan guru-guru. Walaupun saya tahu saya bercakap sangatlah tunggang langgang di dalam English,seperti biasa, buat sahaja ‘tidak tahu’. Walaubagaimanapun,seperti biasalah, semangat untuk bercakap dalam English sedikit pudar apabila masa berlalu, :P yang part ni jangan diikut ya.



IBRAH KEHIDUPAN




Sedikit sebanyak, saya rasa dapat menceduk ibrah daripada secebis kisah ini. 
Kepada sahabat-sahabat yang baru bermula ataupun yang sedang berjuang dalam International Baccalaureate ini, saya yakin anda menggenggam keputusan SPM yang sangat hebat, jauh dan sangat jauh meninggalkan keputusan saya yang rendah itu. Jadi, mengapa perlu takut menghadapi IB? Mengapa banyak mengeluh dengan kerja yang bertimbun? Sehingga ada yang mahu give up, sehingga ada yang putus harapan. Yakinlah dengan apa yang Allah berikan kepada anda ketika ini. Yakinlah dengan janji Allah didalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 :  

                           لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya;
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya,”




Lihatlah kasih sayang Allah, walaupun kita sentiasa rasa tidak mampu untuk melakukan sesuatu, tidak mampu untuk mengharungi onak badai kehidupan, Dia datang membawa janji ini. Ingatlah sahabat-sahabat, Allah akan memberi apa yang kita mampu hadapi. IB ini hanyalah secebis perjalanan hidup kita. Jadi tempuhilah sahaja ia sambil memohon bantuan daripada Allah apabila berdepan kesukaran, bukan menghadapi kesukaran dengan cara lari meninggalkannya. Apabila berasa diri penuh kekurangan, penuh kelemahan, segera perbaiki dan bermunajatlah minta bantuan daripadaNya. Sekian dahulu untuk perkongsian ini, saya akan berkongsi kehidupan di IB seterusnya di dalam IB : Sebuah PerjalananTarbiyah 2 pula. Saya tutup perkongsian ini dengan satu ayat Al-Quran untuk sama-sama kita hayati maksudnya. Never give up! Anda boleh! 


                           إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Maksudnya: 
"…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri…” [Ar-Ra’d:11]

Thursday, 12 July 2012

Tulisan aku ni ke syurga atau neraka?

Syukur,Jari Di Keyboard Semula.

alhamdulillah..tercapai jua hasrat hati..
Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga hasrat hati dan jiwa raga untuk kembali menyusun kata2 di alam maya ni. Syukur pada Allah. Dahulu saya pernah ada sebuah blog,mula menulis di blog tersebut bermula awal tahun 2009 iaitu ketika saya form 5. Tetapi, itulah jadinya bila NIAT tidak diletakkan semata-mata kerana si Dia yang tercinta. Apa yang jadi? Tidak perlu cerita panjang, pendeknya, blog itu menjadi terlampau poyo sehingga saya sendiri terseksa jiwa raga. Akhirnya, awal tahun 2010, blog tersebut terkubur tanpa sebarang peninggalan habuk fossil sekalipun. Awal tahun ni, tiba-tiba tersedar, (kononnya,sebenarnya dah lama sedar,tapi buat2 tak sedar) "Kalau malaikat Izrail jemput aku kejap lagi, apa saham aku ye? Sikit pun tak melabur lagi ni". Kalau mati:

1. Anak-anak tak de lagi nak doakan saya.
2. Sedekah jariah pun sikit,memanjang je tak de duit.
3. Ilmu yang bermanfaat jarang sangat sebarkan kat orang.

Daripada list ni, tersedarlah diri ni masih tak cukup lagi saham untuk melintas titian sirat dengan gembira sambil menghirup angin sepoi-sepoi bahasa. Jadi, saya mengambil keputusan untuk mula menulis, menyampai kata-kata peringatan untuk seisi alam terutama makhluk yang hina dina ini (sambil tengok muka dalam cermin). Harapnya perkongsian saya ini akan ditatap oleh mata-mata yang lain dan menjadi saham saya di 'kampung' sebenar kita nanti. InsyaAllah.

Kenapa blog ni namanya "newtaghyeer"?

new (english) = baru
taghyeer (arab) = perubahan
Inilah harapan saya, 'perubahan baru' yang saya dahagakan berlaku dalam diri ini. Sama-sama kita doakan ye.

Social Networks Dan Ibadat, Ada Kaitan Ke?

Pakcik Amazon ni pun maybe ada fb. Tengah rakam video nak masuk you tube la tu (sumber: worldculturepictorial.com )
Dunia sekarang memang tak lepas dari kemajuan perhubungan. Macam-macam cara manusia berhubung  yang lahir di dunia ni. Kalau zaman purba dulu setakat guna asap dengan semboyan je. Sekarang, macam-macam terhidang didepan mata, sehinggakan boleh dikatakan pelik kalau perbualan ini berlaku:

                                  Encik A: Brader, bg account fb brader, nanti saya add.
                                 Encik B: Sori bos, saya tak de fb, bos pos je la surat kalau nak contact saya. 

Begitulah bagaimana kita berhubung sekarang. Tetapi, bukan tentang teknologi yang saya ingin bincangkan dalam 'corat coret' ini, tetapi saya ingin sentuh sejauh mana kita sebagai Muslim menunjukkan kita ini HAMBA ALLAH yang sentiasa beribadat kepadaNya melalui teknologi-teknologi ini. (macam pening pulak ayat saya ni..huhu). 

Firman Allah subhanahu wa ta’ala :
                            { وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ }
Artinya: “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaku.” (QS Adz-Dzariyat : 56)
Kesimpulan daripada ayat yang femes ini ialah setiap detik kita menghirup oksigen yang free ini, setiap detik itulah ibadat perlu kita laksanakan kepada Allah. Mungkin ada yang persoal, "x kan nak solat tiap masa?", "x kan nak kena berzikir tanpa henti 24 jam kalau macam tu?". Jawapannya senang sahaja: Setiap perbuatan kita yang diniatkan semata-mata kerana Allah, itulah ibadah. Tidak kisahlah anda duduk ke, berlari ke, mahupun buang air sekalipun, jika anda niatkan setiap perbuatan tersebut keranaNya dan sebagai tanda kehambaan anda, insyaAllah, ia akan dikira sebagai ibadat dan diberi ganjaran oleh Allah Yang Maha Hebat. 
Jadi bukankah kita berfacebook, bertweeter itu jugak boleh menjadi ibadah? Kalau anda kata tidak, pergilah cari benda lain untuk disedut ketika berfb mahupun bertweeter, jangan sedut oksigen lagi untuk bernafas. 
Seronoknya Comment2,Post2,Tweet2..
Pernahkah anda berfikir panjang sebelum menulis sesuatu di alam maya ni, tidak kisahlah di mana2 social network sekalipun? Kalau anda fikir, apa pula yang anda fikirkan? takut ibu bapa baca? takut sponsor anda baca post anda tentang pro-pembangkang@anti-kerajaan?takut gelfren@boifren anda baca? Pilihlah mana satu jawapan ini untuk menjadi jawapan anda. Tetapi, kalau sekadar itu yang anda fikirkan, ia masih belum cukup. Apa yang anda perlu fikirkan sebelum jari anda lincah menari di keyboard laptop ialah:

"Tulisan aku ini akan bawa aku ke syurga atau neraka?"

Saya yakin, ramai daripada kita yang tidak pernah terfikir pun tentang ini. Terlampau seronok memaparkan post2 yang osem di mata, comment2 yang melunaskan nafsu sehingga tidak ambil pusing tentang Allah yang sentiasa memerhati. Tidak perlu tengok orang lain, cuba cek diri kita sendiri. Cuba selongkar semula post2 kita, comment2 kita di facebook, tweet2 kita di tweeter, adakah apa yang kita tulis tu 'tulisan ke neraka' atau 'tulisan ke syurga'? Mudah sahaja nak mengklasifikasikan tulisan2 tersebut,jika tulisan itu:
1. Mengingatkan diri dan orang lain kepada Allah = Tulisan ke syurga
2. Menjauhkan diri dan orang lain daripada Allah = Tulisan ke neraka

pernah anda post2 sebegini? harapnya banyak post macam disebelah kanan ni lah ye. =)

 Jadi, kalau apa yang kita tulis itu berbentuk caci-makian, carut-carutan,fitnah-fitnahan, umpat-umpatan, dan sewaktu dengannya, jelas dan nyatalah tulisan2 kita itu akan membawa kita kedalam api yang akan menghancur luluhkan tubuh kita. Kalau ianya tulisan yang membawa kita ke syurga, biarkanlah ia menetap di alam maya, tetapi jika tulisan itu bakal mencampakkan kita ke dalam neraka, segeralah memusnah'delete'kan tulisan2 itu sekarang juga! Kita wajib sentiasa setkan didalam jiwa dan minda kita bahawa kita akan dipertanggungjawabkan diatas setiap perlakuan kita.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala :
مَن جَاء بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِّنْهَا وَمَن جَاء بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا

Maksudnya : ' Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, nescaya ia mendapat balasan yang lebih baik dari perbuatannya itu. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, maka orang-orang yang mengerjakan itu, tidak dibalas atau dihukum melainkan sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya ' (QS Al-Qasas:84)

Kematian Tidak Akan 'Invite' Kita Ke 'Eventnya',

Ingatlah teman-teman, kita langsung sedikitpun tidak tahu bilakah saat kematian kita. Tiba-tiba sahaja nyawa kita boleh lenyap daripada dunia yang fana' ini. Sudah berapa ramai rakan-rakan kita yang sudah pergi menghadap Ilahi walaupun umur masih muda? Masih tidak gentarkah kita dengan peringatan itu? 

Jadi, sebelum menekan keyboard dan menghasilkan bait-bait perkataan di alam maya, termasuklah sebelum mengupload apa2, berdialog dahulu dengan diri; "jika aku mati sebentar lagi, adakah tulisan yang akan aku tulis ni akan mencetak pahala yang berterusan bagi aku? atau aku akan menerima kiriman dosa yg tanpa henti?" Kerana apabila kita mati, setiap tulisan dan gambar kita yang diupload akan kekal disitu buat selama-lamanya selagi mana ia tidak dibuang. Terseksalah kita didalam kubur yang sedia sempit menerima dosa yang tidak putus-putus dikirim daripada Facebook mahupun Tweeter, dan sebagainya.

Akhir Kalam

Tanya diri sebelum menulis : Tulisan aku ni ke syurga atau neraka?